Selepas hampir sedekad terma ‘Industri 4.0’ pertama kali diperkenalkan kepada umum, dunia pekerjaan sentiasa mengalami perubahan. Banyak negara di seluruh dunia termasuk Malaysia telah menggariskan wawasan bagi mendepani cabaran era digital dan menjadi pemain berpengaruh dalam ekonomi global.
Namun, sementara syarikat berusaha untuk menjadi lebih berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang kian berubah hari ini, memastikan bekalan pekerja yang memiliki potensi serta prestasi tinggi adalah mencukupi akan menjadi faktor penting dalam menentukan kejayaan terutamanya bagi industri berteraskan pengetahuan.
Pada masa sama, modal insan hari ini berdepan dengan cabaran baru untuk membentuk keupayaan profesional mereka dan memperbaiki kebolehpasaran diri masing-masing , kerana semakin banyak syarikat mengutamakan kemahiran atau pengalaman kerja yang berkaitan berbanding kelayakan akademik.
Adakah kita melahirkan modal insan yang tepat untuk industri di Malaysia
Bagi kebanyakan sektor ekonomi, graduan tempatan menjadi sumber utama untuk mendapatkan modal insan tahap permulaan. Kestabilan serta pertumbuhan industri dan ekonomi tempatan secara amnya berkait rapat dengan kuantiti serta kualiti graduan Malaysia yang memasuki pasaran tenaga kerja. Oleh itu, adalah kritikal untuk graduan tempatan mendapat latihan serta persediaan yang secukupnya bagi memenuhi permintaan industri yang sentiasa berubah.
Walaupun syarikat sering menyatakan modal insan sebagai salah satu daripada cabaran utama yang dihadapi oleh perniagaan, namun penting untuk diberi perhatian bahawa kekurangan kemahiran yang dialami oleh majikan di Malaysia bukannya dari segi jumlah tetapi akibat ketidakpadanan adalah ketara. Berdasarkan kajian The School-to-Work Transition Survey (SWTS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), ketidakpadanan ini boleh dikaitkan dengan tindakan majikan yang lebih mengutamakan kemahiran insani serta pengalaman kerja, berbanding kelayakan akademik dan profesional sebagaimana yang ditekankan oleh institusi pendidikan dan latihan Malaysia.
Kajian sama turut menekankan bahawa syarikat di Malaysia secara umumnya mempunyai interaksi yang terhad dengan institusi pendidikan serta latihan untuk berkongsi pandangan mereka tentang apa yang harus dipelajari oleh para pelajar bagi memastikan mereka bersedia memenuhi keperluan industri.
Menyelaras dan meningkatkan usaha membina modal insan Malaysia
Bagi menangani isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh Malaysia dan meningkatkan kesediaan para graduan untuk menghadapi alam pekerjaan, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah menerajui inisiatif bagi membantu membina kolaborasi erat antara industri dan akademia.
Ia dilakukan bagi meningkatkan kualiti serta pengisian pengajian universiti agar selari dengan keperluan para majikan, di samping meningkatkan penglibatan majikan dalam latihan dan melahirkan graduan berkualiti tinggi.
TalentCorp turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Kolaborasi Industri-Akademia (IAC) bagi menggalakkan kolaborasi yang lebih erat antara industri dan universiti. Menerusi inisiatif ini, kami membawa majikan ke dalam universiti untuk bekerjasama membangunkan kurikulum, pertandingan serta penempatan industri ke arah melahirkan modal insan graduan yang sedia memenuhi keperluan industri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Antara usaha IAC termasuklah:
Konsortium Pembangunan Modal Insan Pelancongan Malaysia (MyTTDC)
Minyak dan Gas(M&G)
Elektrik dan Elektronik (E&E)
Perkhidmatan Peniagaan Global (GBS)
TalentCorp berkolaborasi dengan majikan dalam merangka langkah-langkah yang dapat membantu mengenal pasti, pengambilan dan memupuk modal insan terbaik. Kami turut menyokong rakan kongsi kami, termasuk institusi pendidikan dan universiti dalam membentuk modal insan akan datang. Dapatkan maklumat lanjut di www.talentcorp.com.my/our-work/employer-partner