Rabu, 27 November 2019 | 12:41pm
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Mohd Rosli Hainin. - Foto ihsan UMP
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Mohd Rosli Hainin. - Foto ihsan UMP

Dr Mohd Rosli dilantik TNC (Akademik dan Antarabangsa) UMP

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini mengumumkan pelantikan Prof Dr Mohd Rosli Hainin sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 November lalu.

Sebelum ini, beliau adalah Naib Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bertanggungjawab dalam pembangunan akademik dan pelajar serta Felo Penyelidik Bersekutu di Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) UTM.

Mohd Rosli, 52, yang berasal dari Temerloh, memiliki kelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) jurusan kejuruteraan awam dari National Center for Asphalt Technology (NCAT), Auburn University, Alabama, Amerika Syarikat.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 29 tahun di UTM, berpengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Mohd Rosli juga berpengalaman sebagai ketua makmal selama lapan tahun, Ketua Kumpulan Penyelidikan Pavemen dan Pengangkutan (lima tahun) dan Pengerusi Panel Penerbitan Buku UTM (empat tahun).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan dan Timbalan Dekan Akademik UTM, serta menerbitkan 400 terbitan termasuk 260 artikel jurnal dengan H-Indeks 26.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff, berkata pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atas pelantikan itu.

“Semoga dengan pelantikan ini, UMP terus cemerlang sebagai antara universiti teknologi terunggul dalam bidang kejuruteraan dan teknologi terutama dalam memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi,” katanya.

Berita Harian X