Ahad, 24 November 2019 | 4:11pm
TIMBALAN Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad. - Foto Intan nur Elliana Zakaria
TIMBALAN Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad. - Foto Intan nur Elliana Zakaria

UTHM perkenal ijazah untuk lulusan vokasional

BATU PAHAT: Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan memperkenal program baharu sarjana muda teknologi, khusus bagi lulusan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad, berkata program itu merealisasikan agenda pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di negara ini.

“Menerusi inisiatif pemerkasaan TVET ini, graduan DVM, DKM dan DLKM berpeluang untuk melebarkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka.

“Semua penuntut universiti yang mengambil program ini hendaklah turut berusaha mengangkat martabat TVET sebagai aliran pendidikan perdana dengan cara menyumbang kepakaran dan menjadi penyelesai masalah kepada masyarakat apabila tamat pengajian kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jerayawara dan Promosi Ijazah Sarjana Muda Teknologi di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi MTUN, Prof Dr Ismail Abdul Rahman.

Program pengajian baharu itu yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pensijilan badan profesional Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) ini membabitkan 10 jurusan yang menawarkan program berasaskan teknologi.

Antaranya ialah bidang penyejukan dan penyamanan udara, kimpalan, pemesinan, pembinaan bangunan, perkhidmatan makanan, minyak dan gas, penyelenggaraan sistem elektrik, sistem automasi elektronik, automotif serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Semua program ini akan mula mengambil pelajar pada September 2020.

Bagi memperkenal program baharu ini, MTUN merancang untuk menjalankan promosi, menyebar luas dan mengukuhkan kerjasama industri sama ada di dalam atau luar negara.

Jerayawara ini juga bertujuan mempromosikan laluan bagi graduan kemahiran di Malaysia ke peringkat universiti menerusi kerjasama MTUN dan pada masa sama memperkenalkan program pengajian tinggi itu kepada wakil institut latihan kemahiran awam dan swasta dan wakil industri.

Selain UTHM, universiti awam yang menganggotai MTUN ialah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Berita Harian X