Selasa, 5 November 2019 | 2:44pm
Mahasiswa UiTM Kampus Rembau dan pelajar SEMESRA ketika menyertai program Rombau Leadership 2K19. - Ihsan UiTM Rembau

UiTM Rembau asah kemahiran insaniah pelajar SEMESRA

REMBAU: Kemahiran insaniah yang lengkap, selain kecemerlangan akademik, semakin penting dalam kehidupan masa kini yang semakin mencabar.

Menyedari hakikat itu, seramai 52 mahasiswa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau terbabit dalam mengendalikan program itu yang dikenali sebagai Rombau Leadership 2K19.

Pengarah projek, Khairul Asyiq Aqli Khairul Azmi, berkata pihaknya mengambil inisiatif memperkasakan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA).

Katanya, program itu diadakan bagi memantapkan dan menguji kemahiran insaniah pelajar sekolah SEMESRA yang baru selesai mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), baru-baru ini.

Program anjuran Kursus Asas Fasilitator (HPD139) di bawah kelolaan Unit Kokurikulum, UiTM Rembau itu juga bertujuan melahirkan pemimpin masyarakat berilmu dan berkemahiran tinggi.


Pelajar SEMESRA yang menyertai kegiatan insaniah pada program Rombau Leadership 2K19.

“Melalui program seperti ini, bakat mereka seperti kepemimpinan, bekerja dalam kumpulan, berkomunikasi dan pemikiran kritis, dapat kami kenal pasti untuk diasah.

“Dengan ilmu dan teknik yang dipelajari ketika dalam kelas, kami dapat mengaplikasikannya untuk pelajar sekolah ini mengenali potensi,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Program sehari itu dihadiri seramai 170 pelajar Tingkatan Tiga SEMESRA.

Khairul Asyiq Aqli berkata, menerusi program itu, pelajar sekolah akan mendapat kebaikan dari segi pendedahan awal dan persiapan dalam menggunakan kemahiran insaniah, terutama apabila menghadapi sesi temu duga kelak.

Katanya, keputusan peperiksaan yang cemerlang perlu seiring dengan kemahiran insaniah.

“Ini kerana keputusan cemerlang akan menarik perhatian majikan manakala insaniah yang tinggi pula akan menjamin seseorang itu mendapat pekerjaan.

“Ia juga dapat memberikan input serta persediaan yang lebih jitu apabila mereka berada di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima kelak,” katanya.

Berita Harian X