Selasa, 5 November 2019 | 1:02pm

BH Skor capai standard sukatan mata pelajaran terkini

KUALA LUMPUR: Sisipan Skor terbitan BH setiap Rabu yang mencapai standard sukatan mata pelajaran terkini, amat membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jalil, Nor Aziah Mahat, berkata soalan yang mengikut Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) itu menyediakan pelbagai jenis soalan serta membantu meningkatkan kefahaman pelajarnya.

Sebagai sekolah yang melanggan akhbar BH, beliau yakin dengan keberkesanan sisipan berkenaan dalam membantu persediaan calon bagi menduduki SPM di sekolah itu setiap tahun.

“Sisipan yang dikendalikan oleh guru cemerlang dan pakar dalam bidang masing-masing ini dapat meyakinkan pihak sekolah untuk melanggan, berbanding menggunakan modul lain yang berada di pasaran.

“Guru juga menggunakan akhbar ini dalam bilik darjah sebagai bahan ulang kaji dan membuat latih tubi kerana mempunyai soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang membantu pelajar untuk memperoleh markah cemerlang,” katanya di sini, hari ini.


Calon SPM membaca nota sebelum peperiksaan bermula di SMK Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Terdahulu Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Kumpulan Sokongan Ibu bapa (KSIB) dan guru turut memberi sokongan serta nasihat kepada pelajar sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Seramai 154 calon menduduki SPM di sekolah berkenaan dengan seorang calon daripadanya adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK).

PIBG dan KSIB turut mengambil inisiatif menyediakan sarapan dan makan tengah hari untuk semua calon SPM sepanjang peperiksaan berlangsung di sekolah itu yang dijadualkan berakhir pada 28 November ini.

Berita Harian X