Selasa, 5 November 2019 | 11:37am
Sebahagian 229 calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bahasa Melayu Kertas 1 di Dewan Jelasin sekolah berkenaan yang bermula serentak di seluruh negara hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

Calon OKU bersemangat hadapi SPM

KOTA BHARU: Status orang kurang upaya (OKU) bukan lagi stigma dalam masyarakat dan ia dibuktikan menerusi semangat Attiq Iskandar Bahari, 18, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) fasa dua, bermula hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota yang cacat pendengaran itu antara 229 calon yang menduduki SPM tahun ini dan satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di sekolah berkenaan.

Attiq Iskandar mengalami masalah pendengaran ketika berusia tiga tahun selepas terjatuh dari tangga hingga menyebabkan gegendang telinganya tercedera.

“Walaupun keupayaan diri saya sedikit terbatas berbanding rakan lain, kekurangan ini bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup.

“Seperti rakan lain, saya melakukan persiapan sebelum menduduki peperiksaan dan meluangkan masa antara dua hingga tiga jam setiap hari mengulang kaji pelajaran.

“Walaupun keputusan peperiksaan percubaan lalu kurang memberangsangkan, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha gigih sehingga hari peperiksaan sebenar,” katanya ketika ditemui di SMK Kota, di sini, hari ini.


Sebahagian 229 calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bahasa Melayu Kertas 1 di Dewan Jelasin sekolah berkenaan yang bermula serentak di seluruh negara hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

Turut menjadi tumpuan pasangan kembar, Nur Amanini Abdul Rahman dan Nur Amanina Abdul Rahman yang juga antara pelajar harapan sekolah.

Nur Amanini berkata, mereka hanya tidur lima jam sehari kerana mengulang kaji sehingga tengah malam dan bersambung selepas solat Subuh sebelum ke sekolah.

“Bagi meningkatkan daya ingatan dalam setiap mata pelajaran, kami menggunakan kaedah saling menyoal dan mengikuti tuisyen bagi subjek Matematik dan Matematik Tambahan.

“Pada percubaan yang lalu, saya memperoleh 7A, manakala Amanina mendapat 6A. Dari situ kami mula melipat gandakan usaha kerana menjadi calon harapan sekolah selain tidak mahu menghampakan harapan ibu bapa untuk melihat kami berjaya.

“Kami mahu berjaya seperti kakak (Nur Nabihah) yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM pada 2017 dan kini menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Kota, Shamsul Bahari Jaafar berkata, pihaknya menjalankan pelbagai program sebagai persediaan untuk pelajarnya menduduki SPM.

“Kami mengadakan program mengulang kaji berfokus yang menumpukan kepada mata pelajaran teras dan kritikal. Dalam masa sama, kami juga menganjurkan kem motivasi secara berkala untuk menaikkan semangat pelajar.

“Tahun lalu, hanya seorang pelajar memperoleh semua A dan tahun ini kami menyasarkan sekurang-kurangnya tujuh pelajar mendapat keputusan sama,” katanya.

Berita Harian X