Ahad, 3 November 2019 | 2:46pm
PELAJAR Orang Asli dari Madrasah Pengajian Islam, Khairul Nizam Along. - Foto Syamsi Suhaimi

Pelajar Orang Asli teruja jalani simulasi haji

KOTA BHARU: “Walaupun hanya simulasi haji, namun saya berasa sangat teruja apabila buat pertama kalinya berasa seolah-olah melakukan rukun haji,” kata pelajar Orang Asli dari Madrasah Pengajian Islam, Khairul Nizam Along, 17.

Khairul Nizam dari suku Temiar, berkata sebelum ini, dia tidak mengetahui mengenali ibadah haji sehinggalah simulasi itu diadakan sekali gus dapat membuka mindanya mengenai Islam.

“Sebelum melakukan simulasi haji, kami diberikan taklimat dan pada ketika itu, saya bimbang jika tidak dapat mengikutinya. Namun selepas diajar, ia tidak sesukar seperti difikirkan.

“Daripada simulasi ini, saya dibawa tawaf mengelilingi ‘Kaabah’, wukuf, mengutip batu serta melontar jamrah, selain melakukan sa’ie Bukit Safa dan Marwah seperti ibadat yang sebenar.

“Kami juga perlu menghafal beberapa potongan ayat,” katanya ketika ditemui dalam Program Simulasi Haji Pelajar Orang Asli, di sini, hari ini.

Bagi seorang lagi pelajar Orang Asli, Arman Rosli, 16, dia seronok melihat rakan-rakannya memakai pakaian ihram.

“Apa yang diajar hari ini pertama kali dalam hidup saya kerana sebelum ini tidak pernah didedahkan dengan ibadat haji yang sebenar.

“Kini, saya sudah memasang angan-angan untuk menunaikan ibadah haji ke Makkah, jika diberikan peluang,” katanya.

Sementara itu, Pengetua madrasah, Suhaidah Suhaimi, berkata simulasi haji itu yang pertama kali diadakan membabitkan 80 pelajarnya terdiri daripada Orang Asli dan mualaf.

“Sebelum ini, kami hanya mengajar mereka secara teori di dalam kelas. Namun sejak tiga tahun lalu, pelajar di sini didedahkan dengan aktiviti lapangan seperti simulasi haji.

“Seramai lapan tenaga pengajar bertindak sebagai mutawif yang ditugaskan untuk memimpin serta memberi pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai suasana sebelum dan ketika menunaikan haji,” katanya.

Berita Harian X