Selasa, 1 Oktober 2019 | 8:40pm
DUA pelajar kembar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SKMA) Naim Lilbanat dari kiri Ainul Mari'iyah mohd Hamizi, Aninul Mardhiah Mohd Hamizi, Atiya Athirah Paizol Akman dan Atiya Atiqah Paizol Akman mengulangkaji kali terakhir sebelum memasuki Dewan untuk peperiksaan PT3 yang bermula hari ini di seluruh Malaysia. - Foto NSTP/Fathil Asri

Pasangan kembar duduki PT3

KOTA BHARU: Dua pasangan kembar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat teruja menduduki kertas Bahasa Inggeris Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pagi tadi.

Pasangan berkenaan, Ainul Mari’iyah Mohd Hamizi, Aninul Mardhiah, Atiya Athirah Paizol Akman dan Atiya Atiqah masing-masing berusia 15 tahun dilihat tidak berenggang sebaik saja memasuki dewan peperiksaan.

Menurut Atiya Atiqah, dia dan pasangan kembarnya, Atiya Athirah menggandakan usaha dan belajar lebih masa sebagai persediaan menghadapi PT3 pada saat akhir.

“Saya dan Athirah tidak mengikuti tuisyen, sebaliknya hanya mengharapkan kelas tambahan di sekolah, selain menumpukan sepenuh perhatian ketika berada di dalam kelas.

“Biasanya keputusan peperiksaan kami setiap kali ujian bulanan tidak jauh beza kerana sentiasa belajar bersama-sama. Kami berharap memperoleh keputusan yang cemerlang dalam keputusan PT3,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Bagi Ainul Mari’iyah pula, kebiasaanya dia dan pasangan kembarnya, Aninul Mardhiah, akan mengulang kaji pelajaran pada awal pagi, selain memastikan semua kerja sekolah disiapkan.

“Hubungan dengan Allah juga amat penting, selain sikap menghormati guru dan tidak kedekut ilmu untuk dikongsi bersama dengan rakan yang memerlukan bimbingan.

“Apabila mengajar rakan lain yang memerlukan pertolongan, secara tidak langsung membantu kami memperbaiki prestasi diri serta meningkatkan kefahaman dalam setiap mata pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMKA Naim Lilbanat, Mustaffa Chik, berkata tahun ini seramai 165 pelajar sekolahnya menduduki PT3.

“Saya tidak boleh menjangka keputusan yang diperoleh kerana terdapat format baru iaitu sukatan pelajaran Sejarah dan Geografi dimasukkan ke dalam PT3.

“Tahun lalu, seramai 107 daripada 165 calon yang menduduki PT3 memperoleh keputusan 11A dan saya amat berharap kecemerlangan ini dapat dikekalkan,” katanya.

Berita Harian X