Selasa, 24 September 2019 | 9:31pm
Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM, Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen. - Arkib NSTP

Sudah diganti kursus baharu

SHAH ALAM: Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Kepujian) Skrin di bawah Fakulti Filem Teater dan Animasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sudah lama digugurkan dan diganti dengan program baharu yang relevan dengan pasaran semasa.

Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi, Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen, berkata apa dilakukan oleh pihak kementerian adalah pengumuman rasmi kepada umum saja.

“Kita yang mencadangkan agar ditutup dan sudah digantikan dengan beberapa program baharu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak tiga tahun lalu pihaknya sudah ada perancangan untuk penjenamaan semula malah sudah mula merancang, melihat kepada kursus yang perlu penambahbaikan serta diberi jenama baharu.

“Apabila program baharu ambil tempat, yang lama digugurkan, maknanya kursus baharu kita gubal mengikut kehendaki industri sudah mula ditawarkan.

“Sekarang pelajar yang ambil kursus baharu sudah pun berada di semester kelima dan kita juga memperkenalkan 2U 1I iaitu dua tahun pengajian di universiti, satu tahun di industri,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, sebanyak 10 program baharu ditawarkan di peringkat ijazah dan lima program baharu di peringkat diploma sudah diperkenalkan di fakulti terbabit.

“Jadi, pemansuhan itu tidak ada kesan sebenarnya kerana kita sudah buat penjenamaan semula, sudah melihat kekuatan, baiki silibus agar lebih mantap, sekarang dikenali sebagai Ijazah Sarjana Muda Pengarahan Filem dan Ijazah Sarjana Muda Sinematografi.

“Sudah tiada pelajar yang mengikuti pengajian program yang digugurkan itu kerana digantikan program baharu,” katanya.

Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Kepujian) Skrin antara 38 program akademik di 19 universiti awam (UA) seluruh negara digugurkan kerana dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa dan masa depan.

Keputusan itu dibuat kerana bidang pengajian pada peringkat sarjana dan sarjana muda terbabit, tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan sejajar permintaan semasa industri.

Daripada 19 UA, setiap universiti menggugurkan sekurang-kurangnya dua kursus pengajian dan BH difahamkan, beberapa lagi program akademik turut dalam pemerhatian, sama ada digugur atau distruktur semula selaras perubahan pasaran pekerjaan di Malaysia.

Berita Harian X