Selasa, 24 September 2019 | 12:30pm
SK Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor adalah antara sekolah yang merangkul anugerah dalam Pertandingan Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik Peringkat Kebangsaan 2019 yang disertai 58 buah sekolah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. - NSTP/Ihsan SK Bandar Tasik Kesuma

'Magis' kantin sekolah

KUALA LUMPUR: Berlumba-lumba ke kantin bila loceng rehat dibunyikan dan seketika suasana yang pada mulanya sepi menjadi riuh, ada yang sudah duduk di meja menikmati makanan yang dibawa dari rumah sementara yang lainnya masih beratur untuk membeli makanan.

Hubungan erat antara guru, murid dan dengan pengendali kantin atau lebih glamornya ‘makcik kantin’ turut bercambah di kantin sekolah.

Kebijaksanaan serta kecekapan pengurusan sekolah serta kantin pastinya mampu mencorakkan sahsiah atau tingkah laku murid dari aspek disiplin serta interaksi dari hari pertama menjejakkan diri di alam persekolahan lagi.

Banyak amalan murni yang boleh diterapkan sama ada oleh guru atau pengendali kantin dan ini terserlah melalui Pertandingan Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik Peringkat Kebangsaan 2019. Keputusan pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama The Holstein Milk Company Sdn Bhd berlangsung pada 27 Ogos lepas.

SK Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor, SMK Baru Miri, Sarawak dan SK Pauh Jaya Pulau Pinang adalah antara sekolah yang merangkul anugerah dalam Pertandingan tersebut yang disertai 58 buah sekolah Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.

Hanya meletakkan bekas khas untuk memasukkan dan mengambil baki duit hasil belian makanan serta minuman, SK Bandar Tasik Kesuma Selangor berjaya mendidik 2,500 muridnya agar jujur ketika berurusan membeli makanan di kantin mereka - KePs Blue Cafe.

Kejayaan itu juga melayakkan sekolah di bawah pimpinan guru besar Noridah Abdul Aziz meraih Silver dalam kategori Kempen 3R, Kategori Kantin Sihat dan Segar (Silver), Kategori Video Generasi Farm Fresh (Bronze) dan Silver bagi kategori keseluruhan sekolah rendah dalam pertandingan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2019 Peringkat Kebangsaan.

Pengusaha kantinnya, Jamilah Buyung, 52, mengakui agak sukar pada mula untuk memastikan murid membayar makanan yang dibeli.

“Ada yang bayar kurang, lupa bayar atau ambil baki lebih tapi lama-lama, mereka jadi malu apabila ditegur rakan sekelas atau marshal kantin.

“Sekarang, mereka sendiri yang akan datang jumpa saya jika terambil lebih baki wang,” katanya kepada Bernama.

Perubahan zaman juga menyaksikan murid-murid kini lebih manja dan ada kalanya ‘naik lemak’ hingga tidak mampu berdikari menguruskan diri sendiri walaupun sudah memasuki darjah lima atau enam.

“Jangan terkejut jika ada murid darjah enam masih makan bersepah, tak pandai angkat pinggan yang kotor dan enggan membersihkan sisa makanan yang ditumpahkan.

“Alasannya, di rumah mereka tak kena buat semua itu dan ibu bapa tak suruh,” jelas Jamilah.

Jamilah berkata, dengan pendekatan yang dilakukannya bersama guru besar sekolah,’urat’ manja murid berkenaan berjaya dilentur.

Cerita Jamilah, kebanyakan murid manja yang mulanya ‘menentang’ melakukan amalan yang ditetapkan ketika berada di kantin, lama kelamaan menjadi malu apabila melihat rakan mereka melakukan kerja-kerja tersebut tanpa disuruh atau dipantau.

“Pendekatan ditegur rakan sendiri terbukti lebih mudah diterima berbanding cara menghukum atau denda.

“Lebih menakjubkan apabila amalan di kantin sekolah ini, dipraktikkan di rumah,” katanya yang turut menjelaskan, sekolah tersebut tidak lagi menghadapi masalah cawan minuman yang bersepah atau sisa makanan terjatuh di lantai kantin.

Menurut seorang marshal kantin, Irsyanuddin Musa, 11, penggunaan pelekat khas di lantai menjadikan pergerakan murid ke kantin semakin teratur apabila masing-masing sangat berdisplin mengikut laluan dan barisan yang diwujudkan.

“Cikgu lekat sticker bercorak tapak kaki dengan warna biru bagi murid lelaki dan merah jambu untuk perempuan.

“Jadi, murid -murid akan berjalan dengan mengikut pelekat ini untuk ke kantin. Kami pun (marshal kantin) lebih mudah mengawal murid kerana tiada lagi yang tolak-menolak apabila tiba di hadapan kaunter untuk mengambil makanan atau membuat bayaran,” katanya.

Walaupun pendekatan tersebut masih di peringkat awal iaitu tidak sampai dua tahun dilaksanakan, Irsyanuddin mengakui dia dan murid lain sangat menyukai persekitaran baharu kantin mereka kerana lebih bersih dan banyak aktiviti dijalankan.

Katanya, KePs Cafe tidak lagi sekadar kantin tetapi lebih kepada ruang santai murid dan mereka bebas melakukan aktiviti seperti bercerita dan menonton televisyen.

“Paling utama, kawan-kawan saya semakin berdisiplin. Kalau buat kotor, memang dia akan rasa malu nanti,” katanya.

Jika SK Bandar Tasik Kesuma mengubah kantin mereka kepada konsep kafe dengan latar belakang warna putih dan biru hasil sisipan tema Inggeris, lain pula kisah SMK Baru Miri, Sarawak yang menghadirkan elemen rimba dalam tatarias kantin mereka.

Muncul juara keseluruhan dalam pertandingan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2019 Peringkat Kebangsaan bagi kategori sekolah menengah, perubahan kantin mereka adalah hasil usaha 862 orang murid dan 81 orang guru serta lima pengendali kantin.

Pengetuanya, Jerrah Pandin memberitahu Bernama, langkah yang dibuat adalah bagi menukar persepsi murid dan guru bahawa kantin bukan sekadar tempat makan.

“Murid di sekolah ini adalah dari golongan sosio-ekonomi sederhana dan rendah.

“Jadi mewujudkan Cafe Rimba adalah signifikan buat murid yang bukan saja menjadikan kantin sebagai tempat mereka mendapat bantuan makanan yang disediakan tetapi pusat simbol ilmu,” katanya.

Menurut Jerrah, kombinasi program bantuan makanan berkhasiat melalui aspirasi amalan pemakanan sihat pelajar dan suasana kantin yang dihias cantik menggunakan buluh dan bahan alam semula jadi ternyata berjaya menarik dan meningkatkan kehadiran murid ke sekolah.

Menurut ‘duta’ Cafe Rimba, Syed Haziq Hadif Wan Saifuddin, 19, untuk tahun ini, mereka memilih tiga projek inovasi dengan menggunakan kantin sebagai ruang ‘berkarya dan perkongsian ilmu’.

“Kami menjalankan projek membuat sabun daripada minyak terpakai, dari barangan terpakai serta menghasilkan bokashi atau baja kompos dari sisa makanan.

“Murid-murid pun semakin suka datang dan duduk di kantin untuk melihat inovasi yang dihasilkan rakan mereka, Jadi, sambil makan, mereka boleh mendapat ilmu,” jelasnya.

Sementara itu, SK Pauh Jaya Pulau Pinang SK Pauh Jaya muncul juara keseluruhan dalam kategori sekolah rendah dalam Pertandingan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2019 Peringkat Kebangsaan.

Kejayaan sekolah itu merangkul kedudukan juara adalah untuk usaha memperkenalkan program Hitsbox iaitu pemberian makanan berkhasiat setiap hari untuk murid yang tidak berkemampuan.

Menurut Pengetua SK Pauh Jaya Pulau Pinang, Ramlee Abu Bakar, program HitsBox yang setiap pek bernilai RM3 bermula pada Januari 2018.

“Dengan kerjasama dari PIBG, program itu membantu 360 murid-murid yang memerlukan makanan berkhasiat, ” jelasnya.

Bagi pengendali kantinnya, Mohd Fahmi Ahmad, 35 dan isteri, Nadirah Azizan, mereka sedar dengan kos yang perlu ditanggung apabila mengetengahkan konsep ‘ala hotel’ namun ia tidak menghalang mereka melakukannya kerana mahu menggalakkan murid dan guru makan di kantin sekolah.

“Dalam masa yang sama, kita dapat bantu murid yang susah. Setakat ini, kami bersetuju bekerjasama dengan sekolah bagi menyediakan 20 menu setiap hari.

“Ini saja sudah membezakan kantin kami dengan kantin di sekolah lain,” kata Mohd Fahmi yang turut dibantu 13 orang pekerja.

Tambah Mod Fahmi, mereka juga nekad untuk mengubah persepsi masyarakat mengenai makanan kantin yang selama ini diberikan imej ‘bosan dan tidak sedap’.

“Disebabkan ini, ramai yang tidak berminat membeli makanan di kantin dan lebih memilih membeli di luar sekolah.

“Untuk menarik perhatian mereka, kami menukar konsep dan mempelbagaikan menu,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X