Isnin, 23 September 2019 | 9:29am
SITI Nor Iswani (tengah) dan Tri Sukmawati menerangkan penghasilan seni lukisan doodle kepada Masniah (kiri).

Sekolah Amanah gilap potensi guru, pelajar

SITI Nor Iswani Fadzly, 17, dan rakan sebayanya, Tri Sukmawati Bambang adalah dua nama yang tidak asing lagi dalam seni lukis doodle di Sabah.

Bermula sekadar hobi melakar dan menconteng, bakat pelajar Tingkatan 5 SMK Bongawan II itu digilap serta diketengahkan, sehingga mereka memenangi pertandingan seni lukis genre itu di Sabah dan juga di Wilayah Persekutuan Labuan.

Kedua-dua pelajar itu sering dijemput menghasilkan seni lukis doodle oleh jabatan dan agensi kerajaan, malah mereka turut memanfaatkan kemahiran itu untuk menjadi pelukis inai secara sambilan di sekitar daerah Papar.

Hasil seni mereka mungkin berakhir begitu sahaja sebagai lakaran dan contengan terbiar jika tidak kerana persekitaran sekolah yang menggalakkan penyerlahan bakat pelajar.

Perkembangan pelajar secara menyeluruh atau ‘kemenjadian pelajar’, antara perkara diutamakan di sekolah itu, selaras dengan kedudukannya sebagai Sekolah Amanah, iaitu program transformasi sekolah yang dilaksanakan oleh Yayasan Amir dan dengan tajaan dana PETRONAS.

Persekitaran Sekolah Amanah turut membina keperibadian pelajar, khususnya aspek kemahiran berkomunikasi.

“Dulu kami malu berkomunikasi, tetapi pendedahan diperoleh di sekolah dan juga kekerapan berhubung dengan orang ramai melalui aktiviti seni doodle, perasaan malu itu diatasi. Kini, kami dapat berkomunikasi dengan selesa,” kata Siti Nor Iswani.

Guru Pendidikan Seni, SMK Bongawan II, Affendy Yubah, berkata kemahiran kedua-dua pelajar itu menarik perhatian fakulti seni sebuah universiti tempatan yang berminat mengambil mereka sebagai pelajar apabila tamat persekolahan kelak.

“Ini adalah contoh bagaimana program Sekolah Amanah menyerlahkan potensi pelajar,” kata Affendy.

Sabah mempunyai lima Sekolah Amanah iaitu SMK Bongawan II, SMK Agama Limauan, SK Kimanis; SK Pekan Kimanis dan SK Mandahan; semuanya terletak di kawasan Kimanis.

PETRONAS memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan program itu di kelima-lima sekolah berkenaan selama lima tahun mulai 2015.

Sementara itu, Pengetua SMK Bongawan II, Datin Masniah Tarah, berkata satu dari aspek ditekankan dalam program Sekolah Amanah ialah ‘kemenjadian murid.’

“Kita akan mengesan kecenderungan pelajar dari awal lagi dan menggalakkan perkembangan mereka secara holistik,” katanya.

Antara perkara yang unik di sekolah menengah di bawah program itu ialah pelaksanaan bilik darjah berasaskan mata pelajaran.

Kira-kira lima kilometer dari SMK Bongawan II, terletak SK Kimanis, sebuah lagi Sekolah Amanah.

Guru Bahasa Arab SK Kimanis, Nurfazhillah Sabit, berkata sekolah itu pula memperkenalkan konsep bilik darjah berpusat kepada guru.

“Bilik darjah akan dikendalikan oleh seorang guru yang akan mengajar semua mata pelajaran, kecuali subjek yang dia tidak berkemahiran mengajar. Misalnya, Bahasa Arab, guru mahir dalam subjek ini akan datang ke kelas itu untuk mengajar,” katanya.

Di bawah Sekolah Amanah juga, sekumpulan guru dilatih untuk menjadi ‘pemimpin pertengahan’ yang memantau kaedah pengajaran guru berdasarkan garis panduan ditetapkan.

“Berdasarkan pemantauan ini, kami akan mengadakan sesi maklum balas dan coaching mengenai penambahbaikan pembelajaran dan pengajaran,” kata Nurfazhillah yang dianugerahkan Ikon Inovasi Sekolah Kebangsaan dan Ikon Akademik 2018, peringkat daerah Papar, serta naib johan Anugerah Guru Inovatif Peringkat Negeri 2018.

Guru Pengajian Islam di sekolah itu, Marinie Thussin, yang sudah 14 tahun mengajar di sekolah itu, berkata Sekolah Amanah turut melonjakkan pembentukan diri beliau sebagai seorang pendidik kerana program itu menggalakkan maklum balas harian daripada guru pemantau mengenai penambahbaikan kaedah pembelajaran dan pengajaran.

“Dengan cara ini, murid dan guru masing-masing dapat belajar,” kata Marinie.

“Pada awalnya, menjadi guru di Sekolah Amanah memang sesuatu yang mencabar kerana banyak perubahan yang kita perlu lakukan. Bagaimanapun, pendedahan dan latihan berterusan membiasakan kami dengan pendekatan baru ini. Kini semua ini sudah sebati dengan diri kami,” katanya.

Caption:

1: Marinie dan Nurfazhillah menunjukkan suasana bilik darjah di SK Kimanis

2: Siti Nor Iswani (tengah) dan Tri Sukmawati (kanan), Pelajar SMK Bongawan II, menerangkan penghasilan seni lukis doodle kepada pengetua sekolah itu Datin Masniah Tarah

Berita Harian X