Isnin, 9 September 2019 | 3:21pm
EWON Benedick, ketika melawat pameran pada Program Pesta Kesihatan Peringkat Wilayah 5 Kota Belud 2019, "Sihat, Setia & Sopan", di Dewan Tun Said Kota Belud. NSTP/Ihsan KPLB.

Pilih bidang pengajian yang sesuai

KOTA BELUD: Lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) harus bijak memilih bidang pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam serta swasta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata ini lulusan SPM dan STPM yang mengikuti bidang yang mereka kuran minat mengakibatkan pengangguran dalam kalangan graduan.

“Kegagalan utama graduan mencari pekerjaan antara lainnya berkaitan dengan pilihan bidang pengajian yang bukan menjadi keperluan utama pasaran kerja atau berlaku lambakan graduan dalam bidang berkenaan.

“Pemilihan bidang perkara paling penting kepada semua pelajar, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi agar tidak menyumbang kepada pengangguran selepas tamat pengajian,” katanya ketika merasmikan Karnival Mini Pendidikan ‘Jom Sambung Belajar’ di sini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Carlye Lajimin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian meminta graduan supaya bijak mencari peluang pekerjaan, termasuk menceburi bidang keusahawanan yang mempunyai peluang yang lebih terbuka.

“Pelajar juga dituntut melakukan kajian mengenai bidang kerjaya yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja, sebelum meneruskan pengajian.

“Sebagai contoh di Sabah, kerajaan sedang rancak membangunkan prasarana berkaitan pelancongan dan tidak dinafikan bahawa sektor pelancongan sektor ketiga penyumbang kepada ekonomi negeri ini.

“Ini menunjukkan sektor pelancongan menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan dan keusahawanan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pengetahuan dan kemahiran dalam dunia pelancongan menjadi faktor utama kepada seseorang untuk bersaing merebut peluang yang tersedia.

“Tahniah kepada Kumpulan Pendidikan Geomatika yang begitu serius membangun pelajar dalam pelancongan dengan menawarkan program dalam pengurusan pelancongan,” katanya.

413 dibaca
Berita Harian X