Khamis, 5 September 2019 | 4:43pm
PRESIDEN Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Mohd Akmal Haziq Ahmad Rumaizi. NSTP/Nik Hariff Hassan.

Hentikan kenyataan berbaur perkauman

KUALA LUMPUR: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) meminta ahli politik berhenti mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman yang menggugat keharmonian dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Presiden KMUM, Mohd Akmal Haziq Ahmad Rumaizi, berkata pihaknya bimbang tindakan menyalakan api perkauman dan meniup bara permusuhan antara agama boleh mengakibatkan rusuhan antara kaum.

Katanya, peristiwa seperti 13 Mei 1969 yang menjadi detik hitam dalam negara ini contoh yang menunjukkan tiada manfaatnya jika berlaku rusuhan itu, sebaliknya hanya memporak-perandakan negara.

“Mahasiswa UM ingin sampaikan mesej jelas kepada ahli politik dan masyarakat di negara ini supaya berhenti main sentimen agama dan kaum.

“KMUM menolak sekeras-kerasnnya budaya tidak sihat ini dan berharap ia dapat dihentikan segera untuk mengelakkan menjadi lebih parah sehingga tercetus rusuhan antara kaum.

“Kami tidak mahu peristiwa 13 Mei 1969 berulang. Mahasiswa mahu Malaysia terus kekal aman dan sejahtera,” katanya di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 100 mahasiswa berarak kira-kira-kira 100 meter dari Kompleks Perdana Siswa UM ke kawasan parkir Kompleks Perdana Siswa UM.

Mereka berhimpun hampir setengah jam sambil memegang sepanduk tertulis ‘Mahasiswa Menolak Perkauman’ dan ‘Students for Unity’.

Ketika ditanya mengenai kempen memboikot produk bukan Islam, Mohd Akmal Haziq berkata, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Untuk mempromosi barang Islam dan Bumiputera tiada masalah tetapi kalau boikot produk bukan Islam, saya kurang bersetuju.

“Dalam hal ini, yang lebih penting sebagai pengguna Islam untuk membeli barang diperakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Isu seperti boikot itu tidak sepatutnya berlaku kerana kita hidup dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kempen memboikot produk bukan Islam perbuatan yang tidak sihat dan boleh menimbulkan perbalahan antara kaum.

Sebaliknya, Presiden PKR itu berkata, kempen mempromosi produk halal boleh diterima tetapi tidak membabitkan boikot produk tertentu.

1168 dibaca
Berita Harian X