Rabu, 4 September 2019 | 9:22pm
Nazira Ahmad di sisi anaknya Muhammad Ariff Zuraimi, yang mengambil UPSR di Hospital Tuanku Jaafar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya. - Foto Mohd Amin Jalil

Ariff tenang duduki UPSR di hospital

SEREMBAN: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seremban Jaya 1, Muhammad Ariff Zuraimi, 12, tenang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), hari ini.

Dia terpaksa menduduki ujian itu di HTJ selepas kaki kirinya patah kerana terbabit dalam kemalangan motosikal pada 20 Ogos lalu.

“Syukur dalam kemalangan itu saya hanya cedera di kaki dan masih boleh menulis untuk menjawab soalan. Saya berharap dapat menghadapi keadaan ini dengan baik sehingga hari terakhir,” katanya di sini, hari ini.

Anak kedua daripada empat beradik berkata, sepanjang dua minggu berada di hospital, guru dan guru besar membantu dalam membuat persiapan bagi menghadapi UPSR.

“Guru sekolah datang ke hospital setiap hari beri bimbangan dan membantu saya mengulang kaji pelajaran sekali gus membolehkan saya membuat persiapan.

“Selain itu guru turut memberikan pelbagai tip,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Nazira Ahmad, 40, yang menemani anaknya itu berkata pada peringkat awal dia bimbang dengan keadaan Muhammad Ariff dalam membuat persediaan menduduki UPSR.

Nazira berkata, dia lega kerana sekolah memberikan perhatian terhadap anaknya, terutama dalam memastikan dia tidak tercicir dalam pelajaran.

“Hari pertama peperiksaan hari ini, saya lihat anak saya dapat menjawab dengan tenang dan menyakinkan, walaupun dalam keadaan dia tidak berapa selesa di hospital.

“Saya berharap dia terus cekal dan tenang untuk menghadapi UPSR sehingga selesai dan mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

609 dibaca
Berita Harian X