Sabtu, 6 Julai 2019 | 2:16pm
SEBAHAGIAN calon UPSR sedang mendengar penerangan daripada penceramah ketika mengikuti Seminar Kecemerlangan Peperiksaan BH Didik 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating. - Foto Muhd Asyraf Sawal

BH Didik pupuk minat murid SK Cherating

KUANTAN: Sisipan pendidikan BH, Didik bukan sekadar mendedahkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating di sini dengan latihan dan soalan peperiksaan, malah menarik minat mereka untuk belajar.

Guru Besar, Khairul Azizi Ab Aziz, berkata seramai 127 muridnya meminati Didik yang dilihat sebagai bahan pembelajaran yang komprehensif bagi menghadapi peperiksaan.

“Peranan Didik sangat penting di sini kerana murid-murid seronok bila diberikan Didik. Bukan saja mereka boleh membaca dan mengikuti maklumat, tetapi hampir 40 peratus soalan dalam Didik sama dengan apa yang dipelajari di sekolah.

“Malah, akhbar ini membantu sekolah untuk mencapai sasaran 100 peratus pelajar lulus dalam peperiksaan. Hasilnya, lebih 52 peratus pelajar lulus dalam peperiksaan percubaan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) baru-baru ini,” katanya.

Beliau yang ditemui pada Seminar Kecemerlangan Peperiksaan BH Didik yang berlangsung di sekolah itu hari ini berkata, program tahunan bersama BH itu memberi peluang kepada muridnya untuk menambah ilmu daripada guru luar.

Tidak mahu muridnya terikat dengan teknik pembelajaran di sekolah semata-mata, kehadiran tenaga pengajar luar membantu mempersiapkan lagi muridnya untuk menghadapi peperiksaan.

SEBAHAGIAN calon UPSR sedang mendengar penerangan daripada penceramah ketika mengikuti Seminar Kecemerlangan Peperiksaan BH Didik 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating. - Foto Muhd Asyraf Sawal

“Program sebegini memberi peluang kepada murid-murid kampung berjumpa dengan guru-guru pakar dari luar. Kaedah ini akan membuka minda murid yang sudah terbiasa dengan pendidikan di sekolah.

“Saya nampak program ini memberi penekanan kepada murid cara belajar daripada segi perkongsian maklumat dengan rakan sebaya serta capaian maklumat dengan apa yang diajar.

“Sebab murid di bandar, mereka diajar mengakses maklumat sendiri berbanding murid di kampung yang mengharapkan maklumat daripada guru,” katanya.

Khairul Azizi berkata, sejak Kementerian Pendidikan membuat sasaran baharu dengan ketiadaan peperiksaan pentaksiran berdasarkan sekolah, membuatkan bebanan guru lebih ringan.

“Sejak itu, kerja guru lebih seronok dan mudah kerana mereka dapat menumpukan kepada program Menguasai Tahap Minimum (MTM) yang diperkenalkan kementerian. Ini memberi kurang tekanan kepada guru, malah mereka dapat mengajar tanpa rasa terbeban,” katanya.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu, turut mengundang pakar kesihatan, Dr Pameila Renna dari Hospital Pantai Ampang, untuk mendidik dan menunjukkan cara menjaga kebersihan tangan dan mulut kepada murid.

Berita Harian X