Isnin, 29 April 2019 | 11:37am
Guru Sekolah Kebangsaan Binjal, Norhayaty Yahya menunjukkan pingat emas yang dimenangi bersama pelajarnya selepas menghasilkan inovasi smart camping stove semasa ditemui pada Program Eksplorasi STEM-Memacu Komuniti Lestari Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung. - Foto Sharul Hafiz Zam

Guru cipta dapur pintar untuk perkhemahan

ALOR SETAR: Tiada padang sekolah untuk melakukan aktiviti berkhemah menjadikan seorang guru kreatif mereka cipta dapur kayu mudah alih yang juga boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit.

Produk yang dinamakan Dapur Perkhemahan Pintar itu adalah hasil inovasi guru sains Sekolah Kebangsaan (SK) Binjal Jitra, Norhayaty Yahya dengan kerjasama guru bimbingan dan kaunseling, Norashika Abd Ghani serta beberapa orang murid.

Norhayaty berkata, ketika projek itu dibangunkan, mereka mendapat peluang menyertai pertandingan inovasi peringkat daerah Kubang Pasu pada Oktober 2015.

“Pada mulanya kerana kurang peruntukan, kami menghasilkan dapur daripada bekas sudu besi terpakai dan hanya menggunakan penyangkut baju untuk menggantung banting bagi mempromosi inovasi kami kepada juri.

“Tak sangka kami diumumkan sebagai pemenang tempat kedua daripada 18 sekolah yang bertanding, bermula dari situlah kami semakin bersemangat untuk menaik taraf dapur ini,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyertai pameran Program Eksplorasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Program Peringkat Kebangsaan yang diadakan di SK Hutan Kampung.


Guru Sekolah Kebangsaan Binjal, Norhayaty Yahya menunjukkan peralatan smart camping stove hasil inovasi bersama pelajarnya yang turut memenangi pingat emas pada beberapa pertandingan Inovasi peringkat kebangsaan pada tahun lepas semasa ditemui pada Program Eksplorasi STEM-Memacu Komuniti Lestari Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung. - Foto Sharul Hafiz Zam

Dapur Perkhemahan Pintar hanya menggunakan kos lebih RM200.

Dapur mudah alih dan senang dibawa itu menggunakan kayu api dan ranting kayu sebagai bahan bakar iaitu sumber tenaga biojisim yang boleh diperbaharui.

Mengulas lanjut, Norhayaty, 40, berkata beliau kemudian meneruskan inovasi dengan melakukan pengubahsuaian menambah termo elektrik terpakai, di mana dapur perkhemahan itu boleh menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 12V-15V dan boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit.

Katanya, dapur itu kemudian diberikan nama Smart Camping Stove dan dipertandingkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Antara pertandingan yang berjaya merangkul pingat emas adalah Sirim Invention, Innovation & Technology Expo 2017 (SI2TE2017) dan Innovation DESIGN Research International Symposium 2017 (IDRIS 2017).

“Bagi pingat perak pula adalah pertandingan National Innovation and Invention Competition Through Exhibition 2017 (iCompEx17);Invention,Innovation&Design Exposition 2017 (IIDEX 2017) dan Kedah Young Inventor 2017,” katanya yang bernaung di bawah Persatuan Inovasi dan Rekacipta sekolah berkenaan.

Rentetan itu, Norhayaty berkata produk itu terus menyertai beberapa siri pertandingan pada 2018 dan menang pingat emas dalam SI2TE2018 dan International Innovation, Design and Articulation (i-IDeA 2018), dalam pertandingan itu hakim dan juri profesional menasihatkan dapur itu dipaten dan dikomersialkan.

Namun katanya akibat kekangan sumber kewangan, projek itu masih gagal dikomersialkan.

“Sekolah kami adalah sekolah luar bandar, sumber kewangan sekolah serta kewangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sangat terhad berikutan majoriti waris murid adalah petani dan bekerja kampung.

“Justeru saya sangat mengharapkan ada pihak dan individu yang boleh membantu kami mengkomersialkan dan mempatenkan dapur ini, orang ramai boleh menghubungi saya menerusi e-mel saya norhayaty79@gmail.com,” katanya.

Berita Harian X