Isnin, 8 April 2019 | 2:46pm
PESERTA diberi panduan dan teknik menjawab soalan peperiksaan mengikut kehendak serta piawaian peperiksaan.
CALON UPSR tekun mengikuti penyampaian penceramah pada Klinik UPSR BH Didik.

Lebih dua dekad bantu calon UPSR

KUALA LUMPUR: Klinik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) BH Didik memberi banyak manfaat kepada calon yang menduduki peperiksaan itu, sejak lebih dua dekad pelaksanaannya di negara ini.

Bermula sejak tahun 1996, Klinik UPSR BH Didik bukan sahaja dijalankan di Semenanjung Malaysia, malah diperluas sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Seminar peperiksaan yang memberi fokus kepada panduan dan teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul itu adalah mengikut kehendak serta piawaian peperiksaan.

Empat mata pelajaran teras diberi pendedahan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Barisan penceramah yang berpengalaman sentiasa berkongsi panduan, bimbingan dan motivasi kepada peserta seminar untuk membantu calon peperiksaan itu mendapat markah maksimum, sekali gus berupaya untuk skor A dalam setiap mata pelajaran.

Penceramah terdiri daripada guru cemerlang yang mempunyai pengalaman luas dalam pengajaran mata pelajaran masing-masing, selain sebahagiannya turut menjadi penulis untuk sisipan BH Didik.

Pada tahun lalu, sebanyak 109 Klinik UPSR dijalankan di seluruh negara membabitkan tajaan syarikat korporat, ejen yang dilantik serta pakej sekolah.

Antara syarikat korporat yang bekerjasama dengan NSTP bagi menjayakan program itu termasuklah Yayasan Felcra, Yayasan Bank Rakyat (YBR), TESCO, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), UEM Sunrise, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Forest City.

Seminar di lokasi terpilih di seluruh negara dijalankan di dewan atau auditorium yang sesuai dengan suasana pembelajaran kondusif, selain peserta dibekalkan dengan modul bercetak termasuk fail, salinan jawapan dan sijil penyertaan.

Peserta juga didedahkan kepada teknik dan strategi belajar secara berkesan dan tepat menerusi penekanan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) serta modul Sains dan Matematik dalam format Program Dwibahasa (DLP).

Calon yang bakal menduduki UPSR juga boleh melanggan sisipan BH Didik yang diterbitkan setiap hari Isnin yang mengandungi pelbagai artikel berkaitan murid, akademik dan kokurikulum, selain menjawab soalan yang disediakan sebagai bahan rujukan dan ulang kaji.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai seminar atau bengkel pendidikan berkenaan, sila hubungi Jabatan Vertikal Pendidikan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) menerusi talian 1 300 22 6787 sambungan 7603/ 8285/ 3158 atau ikuti Facebook BHPendidikan.

Berita Harian X