Khamis, 21 March 2019 | 1:44pm
MASZLEE (dua dari kiri) bersama Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certificate (UEC) (dari kiri) Ahli, Mohamad Raimi Ab Rahim, Pengerusi, Eddin Khoo Bu Eng, dan Ahli, Datuk Tan Yew Sing di Bukit Kiara. - Foto Mahzir Mat Isa
MASZLEE (dua dari kiri) bersama Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certificate (UEC) (dari kiri) Ahli, Mohamad Raimi Ab Rahim, Pengerusi, Eddin Khoo Bu Eng, dan Ahli, Datuk Tan Yew Sing di Bukit Kiara. - Foto Mahzir Mat Isa

Hasil kajian UEC diserahkan Julai ini

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) akan menyerahkan laporan akhir kajian pengiktirafan sijil itu kepada Kementerian Pendidikan, Julai ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata laporan itu kemudian dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh yang belum ditetapkan.

Katanya, garis masa PPDUEC bagi mengkaji pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berlangsung sejak Oktober lalu sehingga Julai ini.

Beliau berkata, sehingga kini, pasukan itu menjalankan 46 sesi temu bual dengan tokoh, termasuk bidang pendidikan, pihak berkepentingan, pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dijemput secara khusus.

“Penting untuk mendengar pendapat semua pihak bagi memastikan kesepakatan dicapai berhubung cadangan pengiktirafan UEC, tanpa menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita.

“Hasil dapatan daripada maklum balas mengenai pengiktirafan UEC akan dirumuskan dan syor akan dirangka dan diserahkan kepada saya untuk dipertimbangkan dan dikemukakan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan PPDUEC di Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PPDUEC, Eddin Khoo Bu Eng dan dua ahlinya iaitu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Penubuhan PPDUEC susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Ogos tahun lalu dan anggotanya dilantik pada 29 Oktober tahun sama.

Maszlee berkata, pasukan itu berfungsi mengkaji dan mencadangkan hala tuju dan dasar berhubung UEC untuk dikemukakan kementeriannya untuk tindakan lanjut.

“Ia melaksanakan proses libat urus dengan semua pemegang taruh dan rakyat pelbagai lapisan masyarakat katanya,” katanya.

Berita Harian X