Khamis, 14 March 2019 | 3:02pm
PELAJAR cemerlang SPM 2018 bergambar kenangan bersama di Majls Anugerah Kecemerlangan Pelajar SPM, STAM dan STPM Peringkat Negeri Johor 2018 di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. - NSTP/Mary Victoria Dass
PELAJAR cemerlang SPM 2018 bergambar kenangan bersama di Majls Anugerah Kecemerlangan Pelajar SPM, STAM dan STPM Peringkat Negeri Johor 2018 di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. - NSTP/Mary Victoria Dass

940 calon SPM 2018 di Johor raih semua A

JOHOR BAHRU: Gred Purata Nasional (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 bagi negeri Johor adalah 4.81 mata iaitu sama seperti indeks GPN dicapai pada 2017.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Azman Adnan, berkata bagaimanapun GPN berkenaan masih mengatasi pencapaian GPN nasional iaitu 4.95 mata.

Katanya, berdasarkan analisis pencapaian keputusan SPM mulai 2012 hingga 2018, GPN Johor menunjukkan peningkatan mulai 2015 dan mengatasi GPN nasional selama tujuh tahun berturut-turut.

“Bagaimanapun bilangan calon yang memperoleh semua A berkurangan iaitu seramai 940 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 1,045 calon pada 2017.

“Sebahagian besar mereka yang memperoleh keputusan cemerlang terdiri daripada kumpulan calon mengambil tujuh hingga 12 mata pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Peringkat Negeri Johor 2018 di Maktab Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Azman berkata, pencapaian calon mengikut GPN bandar berkurangan 0.03 mata iaitu 4.73 pada 2017 berbanding 4.76 mata pada 2018.

Beliau berkata, sebaliknya pencapaian GPN bagi calon luar bandar meningkat sebanyak 0.04 mata iaitu 4.91 pada 2018 berbanding 4.95 pada 2017, dan ia menunjukkan pencapaian calon luar bandar lebih baik berbanding calon bandar.

Katanya, bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) termasuk masalah pembelajaran, cacat penglihatan, kurang upaya dan rabun, seramai 89 calon iaitu 68.46 peratus layak dianugerahkan sijil SPM.

“Keputusan SPM pada tahun ini menunjukkan sebanyak 24 daripada 63 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 26 mata pelajaran mencatat penurunan manakala empat mata pelajaran tidak berubah dan sembilan mata pelajaran baharu diperkenalkan mulai 2018.

“Bagi enam mata pelajaran teras yang wajib didaftarkan dalam peperiksaan SPM, tiga mata pelajaran iaitu Pendidikan Islam, Sejarah dan Sains menunjukkan peningkatan prestasi antara 0.04 hingga 0.26 mata.

“Sementara itu, empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral dan Matematik menunjukkan penurunan sebanyak 0.04 hingga 0.18 mata berbanding 2017.

“Mata pelajaran Sejarah menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.26 mata manakala Matematik menunjukkan penurunan sebanyak 0.18 mata,” katanya.

Azman berkata, secara keseluruhan, seramai 38,141 iaitu 85.65 peratus layak menerima sijil berbanding pada 2017 seramai 40,563 iaitu 84.34 peratus layak menerima sijil.

“Bagaimanapun pencapaian calon yang gagal sekurang-kurangnya satu mata pelajaran adalah 29.29 peratus (seramai 13,045) berbanding 30.10 peratus (14, 477) pada 2017 yang menunjukkan pengurangan sebanyak 0.81 peratus,” katanya.

Seramai 52,418 calon menduduki SPM pada tahun lalu di Johor berbanding 55,672 pada 2017.

Berita Harian X