Khamis, 6 Disember 2018 | 12:35pm
Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff. - Foto ihsam UMP
Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff. - Foto ihsam UMP

Wan Azhar dilantik Timbalan Naib Canselor UMP

KUANTAN: Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Wan Azhar, 51, yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Michigan Ann Arbor, Amerika Syarikat (AS) (1990), Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal di Rensselaer Polytechnic Institute, AS (1992) dan Doktor Falsafah (Teknologi Pembuatan Termaju) di Universiti Sains Malaysia (2004).

Beliau yang mula berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sejak tahun 2004, juga pernah memegang jawatan sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan selama lima tahun bermula dari tahun 2012.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik UMP dari tahun 2011 hingga 2013.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atas pelantikan ini.

“Semoga dengan pelantikan ini, UMP terus cemerlang menjadi sebuah universiti teknologi terunggul dalam menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi bukan sahaja di Malaysia malahan di persada antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Rosli Mohd Yunus yang turut menyumbang dalam memartabatkan UMP menjadi antara universiti terbaik Asia.

“Berada pada landasan terbaik, UMP sentiasa memastikan pembentukan kurikulum akademik yang dihasilkan lebih inovatif dengan disokong oleh staf yang kompeten dan profesional serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisyen berorientasikan keperluan industri dan masyarakat,” katanya.

Berita Harian X