Khamis, 29 November 2018 | 2:36pm

Kegembiraan berganda untuk SK Taman Tuanku Jaafar 2

SEREMBAN: Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2 Senawang, di sini, mendapat kejutan apabila menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada Menteri Besar, Aminuddin Harun, hari ini.

Aminudin hadir ke sekolah berkenaan diiringi Pengarah Pendidikan negeri, Pkharuddin Ghazali, bagi menyampaikan keputusan UPSR kepada semua murid sambil disaksikan guru dan ibu bapa.

Seorang murid cemerlang UPSR sekolah itu yang mendapat 6A, Sarah Alya Khairul Azrin, 12, berkata dia teruja dan terkejut apabila menerima keputusan peperiksaan itu daripada Menteri Besar.

Katanya, di sebalik kegembiraannya, ada kejutan apabila berpeluang mendekati menteri besar yang menyampaikan keputusan peperiksaan.

“Saya gembira kerana naik ke pentas dan menerima keputusan peperiksaan daripada Menteri Besar. Keputusan yang diperoleh hari ini menjadi satu kepuasan bagi saya.

“Sebenarnya saya tidak menjangka memperoleh keputusan seperti ini tetapi bersyukur kerana usaha dan sokongan ibu bapa serta guru banyak membantu saya,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Sarah Alya berkata, dia tidak pernah mengambil kelas tuisyen dan hanya belajar satu mata pelajaran setiap hari untuk memahami subjek dengan lebih baik.

“Apa yang penting ialah beri tumpuan dalam kelas, selain melakukan ulangkaji di rumah,” katanya yang diiringi ibunya, Latifah Mohamed, 47, dan bapanya, Khairul Azrin Abdul Aziz, 42.

Sementara itu, Latifah yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Setia Raja, Rembau berkata, beliau sedar betapa penting anaknya mencapai kecemerlangan dalam akademik, tetapi tidak memberi tekanan kepadanya.

“Saya dan suami tidak pernah memberi tekanan kepada anak-anak. Mereka ada cara belajar sendiri dan saya hanya mengawasi mereka jika mereka perlukan bantuan atau nasihat.

“Saya berterima kasih kepada guru yang mengambil inisiatif membantu murid dengan menyediakan kelas tambahan dan pelbagai modul untuk membantu mereka memahami pelajaran dengan lebih baik,” katanya.

AMINUDDIN (dua dari kiri) beramah mesra bersama pelajar cemerlang UPSR, Sarah Alya (empat dari kanan) yang mendapat 6A dalam semua matapelajan bersama ibunya, Latifah Mohamed (lima dari kanan) serta bapanya, Khairul Azrin (tiga dari kanan) ketika di majlis Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah 2018 di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2, Senawang. - NSTP/Adzlan Sidek
Berita Harian X