Khamis, 29 November 2018 | 1:29pm
SEBAHAGIAN daripada alumni Taylor’s bersama-sama rakan sekuliah.
SEBAHAGIAN daripada alumni Taylor’s bersama-sama rakan sekuliah.

Mengimbau kenangan di Taylor's

KUALA LUMPUR: Kisah perjalanan perkembangan institusi pendidikan swasta, Taylor’s menjadi sebahagian daripada acara khas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Taylor’s College.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Pendidikan Taylor’s, Datuk Loy Teik Ngan, berkata perkembangan institusi berkenaan adalah satu proses yang penuh dengan inspirasi.

“Dengan pelajar dan kakitangan dari lebih 60 negara dan pelbagai komuniti berbeza, mereka bukan saja membentuk identiti Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya, etnik dan agama, malah Mengimbau kenangan di Taylor’s mewujudkan variasi nilai serta kekuatan kepada perbezaan itu.

“Saya belajar mengenai kepentingan bersatu sebagai syarat untuk pemikiran yang pelbagai dan toleransi penting untuk inovasi dan komuniti,” katanya.

Sempena sambutan itu, kempen Taylor’s 50th Anniversary What's Your Word dilancarkan bagi meraikan alumni yang hadir, selain mencetuskan kenangan ketika zaman pengajian mereka di Taylor's, sama ada di Taylor's International School, Taylor's College atau Taylor’s University.

Taylor's College bermula di Jalan Pantai, Kuala Lumpur pada 1969 dengan menawarkan program Victorian High School Certificate (VHSC) kepada 345 orang pelajar. Selama 25 tahun di Jalan Pantai, Taylor’s kemudian berpindah ke kampus kedua di PJ New Town pada 1985 dan selepas empat tahun berada di situ, kampus terkini Taylor’s di Subang Jaya dilancarkan.

Teik Ngan berkata, bagi meraikan perpindahan bersejarah ke kampus sendiri, pihaknya memperkenalkan dua program baharu prauniversiti iaitu program Prauniversiti Kanada (CPU) dan Matrikulasi Australia Selatan (SAM), sekali gus menjadikan Taylor’s sebagai perintis kepada institusi pendidikan yang menyediakan program SAM.

Beliau berkata, pada 1990, beberapa program lain turut diperkenalkan, termasuk program Pindahan Ijazah Amerika, Seni Bina, Perniagaan, Perakaunan, Cambridge A Level, Sains Komputer, Kejuruteraan serta Hospitaliti Pelancongan dan Seni Kulinari.

Kenangan di Taylor's

“Taylor’s College mempunyai rekod yang baik dengan menempatkan lebih 1,000 pelajar di 200 universiti terkemuka dunia pada setiap tahun.

“Taylor’s University pula berada di tangga keempat dalam indikator kadar kebolehpasaran graduan dalam QS Graduate Employability Rankings 2019 dan berada di tangga ke 135 di Asia dalam QS Asia University Rankings 2019, selain disenaraikan sebagai Top 1 Percent Of Universities di Asia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Datuk Mahmud Abbas, berkata zaman belajar di Taylor’s College di Jalan Pantai adalah kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakannya.

“Perkara yang tidak dapat saya lupakan ialah loceng, kerana apabila loceng berbunyi bermakna saya dan rakan-rakan dapat bertemu dan berbual di koridor.

“Hanya kehadiran guru besar, Ted Miles, yang menyebabkan kami tidak berbuat demikian kerana beliau pasti akan mendenda kami kerana membuang masa,” katanya yang juga alumni kelas 1976.

Alumni SAM kohort 2004, Dr Renard Siew pula berkata, beliau banyak belajar mengenali diri sendiri ketika menuntut di Taylor’s College, dengan guru biologi, Kalpana Das banyak menasihatkannya untuk berjaya.

Ini hanya dua kisah berkaitan Taylor’s. Untuk mengetahui lebih lanjut, orang ramai boleh berkunjung ke Hari Terbuka Taylor’s pada 8 dan 9 Disember serta 15 dan 16 Disember ini.

Berita Harian X