Rabu, 24 Oktober 2018 | 1:38pm
Ismail (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Amanda Khan pada Majlis Anugerah Teknologi Pendidikan dan Tokoh Nilam peringkat WPKL di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Rosela Ismail​
Ismail (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Amanda Khan pada Majlis Anugerah Teknologi Pendidikan dan Tokoh Nilam peringkat WPKL di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Rosela Ismail​

Guru jadi contoh transformasi PAK-21

KUALA LUMPUR: Transformasi pendidikan pada peringkat sekolah perlu bermula daripada tenaga pengajar yang menjadi suri teladan kepada pelajar pada masa ini.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Ismail Musa, berkata transformasi itu termasuklah pengurusan bilik guru ke arah Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21).

Beliau berkata, guru tidak seharusnya hanya memfokuskan aspek kelas PAK-21 untuk pelajar sehingga terlupa akan ruangan sendiri di bilik guru menyebabkan pelajar tidak bersungguh-sungguh membuat perubahan.

“Perubahan dalam diri pelajar adalah bermula daripada guru di sekolah, justeru jadikan pembaharuan positif ini sebagai contoh terbaik kepada pelajar seterusnya mewujudkan suasana kondusif di setiap sudut sekolah termasuklah bilik guru dan Pusat Sumber Abad ke -21,” katanya.

Tokoh Nilam peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah, Amanda Khan Nazim Khan. - Foto Rosela Ismail
Tokoh Nilam peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi kategori Bahasa Inggeris Sekolah Rendah, Amanda Khan Nazim Khan. - Foto Rosela Ismail

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Teknologi Pendidikan dan Tokoh Nilam peringkat WPKL di Auditorium Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah BTP WPKL, Zainuddin Othman; Timbalan Pengarah Pendidikan, Pejabat Pendidikan Wilayah Keramat, Asiah Husin; Timbalan Pegawai Pendidikan Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul, Radzita Radzi dan Ketua Sektor Pembestarian Sekolah BTP KPM, Dr Suhaimi Kadir.

Sebanyak 28 kategori dipertandingkan termasuk Tokoh Nilam Sekolah Rendah dan Menengah bagi Bahasa Melayu serta Inggeris.

Sementara itu, Murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Sentul 1, Siti Fatimatuzzahro Saiful Bahari muncul Johan Tokoh Nilam peringkat WPKL bagi kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah, manakala Amanda Khan Nazim Khan (SK Bukit Damansara) Tokoh Nilam Bahasa Inggeris.

Tokoh Nilam peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah, Fatimatuzzahro Saiful Bahari. - Foto Rosela Ismail
Tokoh Nilam peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi kategori Bahasa Melayu Sekolah Rendah, Fatimatuzzahro Saiful Bahari. - Foto Rosela Ismail

Bagi kategori sekolah menengah pula dimenangi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Muhammad Aqil Aiman Putra Zainul Putra (Bahasa Melayu) dan Laura Gayathri Muniandy (Bahasa Inggeris).

Kesemua pemenang akan mewakili WPKL untuk ke Pertandingan Tokoh Nilam peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung tahun hadapan.

Mengenai Smart School Qualification Standards (SSQS) yang dilaksanakan di sekolah seluruh negara, beliau berkata, penilaian itu adalah amalan terbaik bagi pembudayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Katanya, penarafan SSQS 2017 di semua sekolah di WPKL mencapai taraf pembestarian sekurang-kurangnya tahap tiga bintang.

“Daripada sejumlah 298 sekolah dinilai, sebanyak 37 sekolah mendapat lima bintang, 218 sekolah (empat bintang) dan 43 sekolah (tiga bintang).

“Bilangan sekolah yang mendapat lima bintang meningkat daripada 17 sekolah pada tahun 2016 kepada 37 sekolah (2017),” katanya.

Berita Harian X