Ahad, 23 September 2018 | 9:42pm
PELAJAR pusat tahfiz seperti juga pelajar-pelajar sekolah aliran yang lain perlu diberi perlindungan sewajarnya daripada apa juga bentuk penganiayaan dan penderaan. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Kaji, perketat garis panduan penyeliaan pusat tahfiz

KUALA LUMPUR: Garis panduan bagi mengawal selia dan mengendalikan pusat tahfiz di seluruh negara perlu dikaji semula dan diperketatkan.

Ia susulan kejadian terbaru salah laku seks di institusi berkenaan yang membabitkan pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, dipercayai meliwat dan mencabul sembilan pelajar lelakinya, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung perkara itu dalam waktu terdekat.

“Memandangkan pusat tahfiz dikendalikan oleh pihak swasta, Kementerian Pendidikan berpandangan kerjasama semua agensi penting bagi menangani kes salah laku seks di pusat tahfiz.

“Sudah tiba masa garis panduan menyelia dan mengendalikan pusat tahfiz di seluruh negara perlu dikaji semula dan diperketatkan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas pelakunya supaya kejadian sama tidak berulang.

“Perbuatan seumpama itu tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh seorang pengetua yang diletakkan amanah untuk mengurus pusat tahfiz dengan baik.

“Diharap pihak berkuasa dan polis mengambil tindakan tegas supaya kejadian yang sama tidak berulang di pusat-pusat tahfiz atau mana-mana institusi pendidikan dan pengajian,” katanya.

Maszlee berkata, pelajar pusat tahfiz seperti juga pelajar sekolah aliran yang lain perlu diberi perlindungan sewajarnya daripada apa juga bentuk penganiayaan dan penderaan demi memastikan mereka memperoleh pendidikan berkualiti.

Berita Harian X