Isnin, 3 September 2018 | 4:34pm
PEMENANG pingat emas Chok Yan Nian (dua dari kiri) bersama S Vignesswaran, Nur Zulfa Atiya Zafri Azran (kanan) dan Madihah Ahmad Zaki yang menyertai China Adolescent Science and Technology Innovation Contest (CASTIC) dan China Asean Innovation Award di Chongqing, China. - Foto Mohd Rafi Mamat
GURU pembimbing Mohd Faktharudin Mahmod bersama pelajar SMART pingat emas dari kiri, Chok Yan Nian, S Vignesswaran, Nur Zulfa Atiya Zafri Azran dan Madihah Ahmad Zaki yang menyertai yang meraih dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa pada China Adolescent Science and Technology Innovation Contest (CASTIC) dan China Asean Innovation Award di Chongqing, China. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pelajar SMART raih dua emas di China

KUANTAN: Enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART), di sini membuktikan kehebatan apabila meraih dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa dalam Pertandingan Inovasi Teknologi dan Sains Remaja China (CASTIC) dan Anugerah Inovasi Asean China di Chongqing, China, minggu lalu.

Dua pingat emas diraih menerusi projek kepingan komposit buluh hibrid bersama nano tiub karbon yang boleh digunakan untuk pelbagai produk lain oleh pelajar Tingkatan Empat, Chok Yan Nian, 16 tahun.

Yan Nian berkata, dia mengambil masa lebih sebulan untuk menghasilkan produk terbabit yang mempunyai ketahanan tinggi dan berkualiti walaupun memerlukan kos lebih mahal untuk menghasilkannya.

Katanya, beberapa proses perlu dilakukan seperti menghancurkan buluh menjadi serbuk, menggaulkan dengan karbon dan terakhir memampatkan bahan terbabit menggunakan mesin khas mengikut bentuk diperlukan.

“Pelbagai produk boleh dihasilkan daripada komposit buluh hibrid seperti bot gentian, komponen dalam kenderaan, peraut dan barangan sesuai. Ini kerana sifat semula jadi buluh yang liat menambahkan lagi kualiti barangan.

“Saya berharap produk yang dihasilkan dapat dikomersialkan suatu hari nanti sama seperti papan lapis keluaran negara ini yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Yan Nian berkata, sokongan dan bantuan guru, Mohd Faktharudin Mahmod turut menjadi pencetus kepada kejayaan pada pertandingan peringkat antarabangsa yang disertainya selepas menyertai pertandingan inovasi di Indonesia awal tahun ini.

Dua pingat perak pula diperoleh menerusi projek kertas sisa buangan jagung yang dihasilkan oleh S Vignesswaran, 16 serta dua pingat gangsa menerusi pasangan, Nur Zulfa Atiya Zafri Azran,16 dan Madihah Ahmad Zaki, 16 menerusi produk photovoltan terapung (solar).

Mohd Faktharudin berkata, pencapaian di China itu adalah kejayaan kedua SMART tahun ini selepas mendapat tiga emas dan satu perak pada pertandingan inovasi di Bandung, Indonesia awal tahun ini.

“Selepas meraih kejayaan membanggakan pada dua pertandingan antarabangsa, pihak sekolah kini memberi tumpuan untuk menghasilkan kemenangan pada tiga lagi pertandingan di Indonesia, Turki dan Thailand pada September hingga Disember tahun ini.

“Menerusi sokongan kuat pengetua SMART, Nor Naseha Rosni Mohd Arshad, dan ibu bapa pelajar, diharapkan pencapaian cemerlang dalam bidang inovasi di pentas antarabangsa dapat diteruskan,” katanya.

Berita Harian X