Rabu, 29 Ogos 2018 | 7:18pm

UNITAR International Academy lahir individu berkualiti

PEMANGKU Pengarah Eksekutif UNITAR, Iskandar Sham (kiri) bersama wakil UNICEF Richard Tobin (kanan) dan Erica Mattelone (dua kiri) melancarkan "The Professional Certificate Programme in Evaluation" di kampus utama UNITAR. - Foto Saifullizan Tamadi

PETALING JAYA: Dalam usaha melahirkan individu berpengetahuan kukuh dan memiliki kemahiran teori serta praktikal berkualiti, UNITAR International Academy menganjurkan Program Pensijilan Penilaian Profesional (PCPE) di sini, hari ini.

Program dianjurkan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu adalah program perintis di bawah Pusat Penilaian Kecemerlangan UNITAR-UNICEF.

Pemangku Pengarah Eksekutif, UNITAR Academy, Iskandar Sham, berkata latihan selama 10 hari bakal diikuti peserta itu akan mendedahkan mereka dengan asas dan nilai praktikal berhubung aspek penilaian tugasan, sekali gus membantu mempromosikan pembangunan mampan.

PEMANGKU Pengarah Eksekutif UNITAR, Iskandar Sham (kanan) memberi penerangan mengenai bilik penilaian evaluasi kepada wakil UNICEF Richard Tobin dan Erica Mattelone pada majlis pelancaran "The Professional Certificate Programme in Evaluation" di kampus utama UNITAR. - Foto Saifullizan Tamadi

“UNITAR Academy sebagai Pusat Pembangunan Profesional sentiasa berperanan proaktif, termasuk bersedia menjalin hubungan secara global dalam menyediakan graduan dan individu yang mampu menyumbang kepada matlamat pembangunan lestari.

“Kami harap program ini dapat menyediakan tenaga pakar dalam aspek penilaian pelbagai bidang supaya setiap projek, pengeluaran dan idea yang dilaksanakan mampu memberi manfaat kepada masyarakat, negara serta dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PCPE di UNITAR International University di sini, hari ini.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan Pakar Penilaian UNICEF, Erica Mattelone.

Yang turut hadir, Pakar Perunding UNICEF, Dr Richard Tobin.

PEMANGKU Pengarah Eksekutif UNITAR, Iskandar Sham. - Foto Saifullizan Tamadi

Sementara itu, Tobin berkata, peserta program berkenaan akan menjalani beberapa siri latihan, termasuk syarahan, perbincangan berkumpulan, persembahan dan aktiviti praktikal.

Katanya, harapan ke atas program dianjurkan bersama universiti terkemuka di Malaysia ini adalah peserta dapat mewakili masyarakat, sektor swasta dan negara Asia Tenggara dalam menggalakkan pembangunan mampan.

PENSYARAH Kanan, Mildred Lopez "The Professional Certificate Programme in Evaluation" di kampus utama UNITAR. - Foto Saifullizan Tamadi

Kumpulan pertama membabitkan 25 peserta yang akan memulakan program berkenaan terdiri daripada mahasiswa, pensyarah dan individu dari seluruh negara.

Bagi peserta yang ingin menyertai program ini, UNITAR Academy menggariskan beberapa kriteria dan syarat, seperti memiliki sekurang-kurangnya ijazah, berketerampilan baik, selain minat mendalam terhadap bidang pembangunan mampan.

Berita Harian X