Khamis, 16 Ogos 2018 | 6:42pm
PAMERAN sempena Majlis Dialog Berfokus Kenderaan Autonomous: Kesedaran dan Cabaran, di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), di Behrang, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PAMERAN sempena Majlis Dialog Berfokus Kenderaan Autonomous: Kesedaran dan Cabaran, di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), di Behrang, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Mantapkan kemahiran melalui ilmu terkini

BEHRANG: Pelajar perlu mendapatkan ilmu dan maklumat menerusi pelbagai cara dan bukan hanya tertumpu di dalam bilik kuliah saja.

Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainah Rujihan berkata, dalam zaman Revolusi Industri (RI 4.0) kini, pelajar perlu bersiap siaga kerana teknologi yang diperkenalkan hari ini akan sentiasa berubah pada bila-bila masa.

Beliau berkata, adalah sangat penting untuk setiap pelajar dan warga pendidik mendapatkan maklumat serta ilmu menerusi pelbagai cara antaranya penganjuran seminar, dialog atau persidangan oleh institusi mahupun pihak industri.

“Setiap individu perlu memperkemaskan ilmu dan kemahiran sedia ada bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dalam mendepani RI 4.0.

“Pembelajaran bukan saja berlaku di bilik kuliah, tetapi ilmu boleh diperoleh sepanjang masa dan di mana saja. Tiada istilah susah untuk mencari maklumat pada zaman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Dialog Berfokus Kenderaan Autonomous: Kesedaran dan Cabaran, di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz; Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohamad Amin Hamat dan Pengarah PSAS, Dr Naimah Md Khalil.

Sesi dialog berkenaan menampilkan tiga panelis iaitu Pensyarah Pelawat Malaysian Spanish Institute, Dr Horizon Walker Gitano-Briggs; Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Noorfaradila Paiman dan Pengarah Urusan ENDStruct, Khairul Muzammil Saipullah.

Program sehari itu bertujuan memberi pendedahan berkaitan teknologi autonomous yang boleh mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manusia.

Selain itu, program berkenaan diadakan untuk mendapatkan input terkini mengenai perkembangan kejuruteraan automatif di dalam dan luar negara daripada sembilan syarikat yang menyertai program berkenaan.

Sementara itu, Naimah berkata, PSAS adalah satu-satunya politeknik di negara ini yang menghasilkan kenderaan bercirikan autonomous.

Katanya, kenderaan yang dihasilkan oleh pensyarah dan pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Dalam Program Automotif itu mendapat geran penyelidikan sebanyak RM80,000.

“Kenderaan itu hanya mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dan akan bergerak menerusi kawalan panel yang terdapat di dalamnya.

“Selain itu, ia diprogramkan untuk mengelak sebarang halangan ketika pemanduan dijalankan,” katanya.

INFO

  • Sebanyak 71 rakan industri berkolaborasi dengan PSAS
  • Turut diadakan Majlis Penyerahan Dokumen Sijil Kolaborasi kepada 10 rakan industri; Majlis Pelancaran Pertandingan Inovasi Proton-Politeknik (PIPPo) dan Penyerahan Replika Kunci kepada 12 Politeknik Malaysia yang terpilih.
Berita Harian X