Khamis, 7 Jun 2018 | 2:16pm

Menyantuni pemansuhan AUKU antara cadangan PenDaPaT

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) mencadangkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang dianggap tidak releven dengan perkembangan pendidikan tinggi semasa, dipertimbangkan.

Isu berkaitan AUKU meliputi empat cadangan berkaitan adalah antara sembilan perkara pokok disenarai PenDaPaT melalui Memorandum Cadangan Penambahbaikan dan Reformasi Berkaitan Pendidikan Tinggi Negara kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Selain Menyantuni pemansuhan AUKU, lapan lagi isu utama ialah Memperteguh Kelestarian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); Memperkukuh Governan Agensi Kepimpinan Pendidikan Tinggi; Mengembalikan Ekosistem dan Budaya Akademik Tulen Berasaskan Kecemerlangan.

Isu lain termasuk Penilaian Semula Skim Perkhidmatan Ahli Akademik; Mengimbangi Sistem Penarafan Ranking Universiti dengan Etika Akademik; Menjamin Graduan Pascasiswazah Berkualiti dan Mengembalikan Peranan Asal Ahli Akademik.

Pengerusi PenDaPaT, Prof Datuk Dr Norzaini Azman, berkata meskipun dipinda beberapa kali khususnya berkaitan dengan kebebasan pelajar untuk berpolitik, AUKU yang didakwa sebagai akta yang mengekang kebebasan akademik dan pelajar, masih dilihat tidak relevan dalam perkembangan pendidikan tinggi semasa.

Beliau berkata, sekiranya AUKU dimansuhkan, ia tidak boleh dilakukan secara drastik, sebaliknya berperingkat dengan artikel berkaitan kegiatan pelajar ditiadakan dalam akta berkenaan, begitu juga kawalan universiti terhadap kegiatan pelajar di dalam dan luar kampus.

"Bagi menggantikan AUKU, inisiatif menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Tinggi perlu diusahakan untuk menetapkan hala tuju strategik pendidikan tinggi negara, mengagihkan sumber untuk pendidikan tinggi, mengawal selia kualiti dan kecemerlangan pendidikan tinggi melalui fungsi pemantauan berkala.

"Selaras semakan atau pemansuhan AUKU, perkara sama perlu dilakukan kepada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), di mana pemberat kepada institusi perniagaan perlu dikurangkan dan kedudukan universiti sebagai institusi pendidikan diberikan penekanan menyeluruh.

"Aspek kualiti institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga tidak boleh bertolak ansur dengan kuasa perniagaan. Justeru, satu kajian terhadap model perniagaan IPTS yang memberi lebih perhatian kepada aspek kualiti serta kelestarian dan bukannya aspek keuntungan semata-mata, perlu dicadangkan," katanya kepada BH.

Mengulas cadangan berkaitan PTPTN, beliau berkata penangguhan bayaran balik kepada peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan akan memberi lebih ruang kepada graduan merancang kehidupan, namun pihak kementerian perlu realistik kerana ia tidak dapat mengatasi isu dan cabaran lebih besar, iaitu kelestarian PTPTN.

"Penetapan 'threshold' atau ambang batas perlu mengambil kira kadar purata gaji semasa graduan, beban pembayaran semula serta kelangsungan serta kecekapan PTPTN.

Selain itu kaedah bayaran balik pinjaman perlu dilakukan secara lebih sistematik dan kerajaan perlu mempunyai pangkalan data lengkap berkaitan pendapatan graduan, dengan bayaran balik pinjaman boleh diuruskan melalui potongan majikan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya.

Dalam usaha mengembalikan ekosistem dan budaya akademik tulen, beliau berkata proses dan kriteria kenaikan pangkat ahli akademik di universiti awam (UA) perlu diperkemas untuk menjamin ketelusan proses dan penekanan kepada tahap kesarjanaan.

Malah, katanya empat laluan kerjaya dan kriteria kenaikan pangkat dicadangkan dalam 'Orange Book' perlu dilihat semula kerana ia disalah erti dalam konteks kecemerlangan kesarjanaan.

"Skim perkhidmatan ahli akademik sedia ada juga dicadang dikaji semula dan ditambah baik, dengan harapan ia diletakkan di bawah skim baharu yang tersendiri tanpa terikat dengan skim perkhidmatan awam.

"Cadangan ini akan memberi banyak impak antaranya usia persaraan baharu dalam kalangan ahli akademik.

Kita turut mencadangkan supaya lima universiti penyelidikan sahaja yang memberi tumpuan kepada ranking (kedudukan).

Dalam pada itu, UA diminta untuk terus memberi perhatian kepada proses pembangunan negara bangsa yang tentunya antara lain menekankan soal penjanaan insan dan tenaga kerja berpengetahuan serta berkemahiran tinggi," katanya.

Tambah beliau, universiti juga awam boleh memperkenalkan sistem kewangan korporat untuk mengurus dana bukan geran kerajaan dan mewujudkan jawatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) untuk bertindak sebagai penggerak utama tadbir urus kewangan institusi," katanya.

Berita Harian X