Rabu, 25 April 2018 | 7:22pm
IMAN Mohamad Afif, (kanan) dan Alisya Zahras Muhadzir menunjukkan produk Seri Tanjung menggunakan kulit kayu pokok bunga tanjung. - Foto Rosela Ismail
HABSAH Ahmad (tengah) bersama pelajar yang menghasilkan produk Seri Tanjung menggunakan kulit kayu pokok bunga tanjung. - Foto Rosela Ismail
PRODUK Seri Tanjung menggunakan kulit kayu pokok bunga tanjung. - Foto Rosela Ismail

Sabun antipenuaan, rawat masalah kulit

CYBERJAYA : Kelebihan bunga tanjung sebagai antipenuaan, menguatkan gigi dan gusi serta mampu merawat masalah kulit mendorong pasukan inovasi Sekolah Seri Puteri, di sini, untuk menghasilkan sabun yang dinamakan Seri Tanjung.

Guru pasukan inovasi sekolah, Puan Habsah Ahmad, berkata produk mesra hijau itu dibangunkan dengan menggunakan ekstrak bunga tanjung yang mudah didapati di sekitar sekolah.

Beliau yang juga guru Fizik berkata, pihaknya mendapatkan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terutama untuk menjalankan kajian ke atas produk yang dihasilkan.

Katanya, untuk menghasilkan produk berkenaan, pihaknya terlebih dahulu mendapatkan kulit pokok bunga tanjung sebelum dikering dan dikisar, diikuti dimasak untuk mendapatkan ekstraknya.

Selamat digunakan

"Ekstrak yang diperoleh kemudian dimasukkan ke dalam acuan sabun yang mengandungi bes sabun dan dicampur beberapa titisan minyak zaitun untuk menguatkan sebatian sabun berkenaan sebelum melalui proses penyejukan dan pembekuan.

"Proses untuk menghasilkan sabun yang bebas bahan kimia berbahaya ini mengambil masa selama dua bulan serta menjalani ujian keupayaan serta ketahanan, termasuk antipengoksidaan," katanya kepada BH Skor, baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Puan Habsah berkata, produk itu memiliki keistimewaan tersendiri termasuk menggunakan bahan semula jadi serta mempunyai pilihan bauan seperti lemon dan strawberi.

"Selain menyegarkan pengguna, sabun ini didapati tahan lama dengan pelajar yang sudah menggunakannya memberi maklum balas positif kerana bauannya lembut dan menyenangkan," katanya.

INFO

Sabun Seri Tanjung

* Dibangunkan pada Disember 2016 dan penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa

* Mudah dibawa dan sesuai dikomersialkan untuk industri perhotelan

* Kos penghasilan sebuku sabun ialah kurang daripada RM10

* Membabitkan dua pelajar Tingkatan Lima iaitu Iman Mohamad Afif dan Allisya Zahraa Mahadzir

* Menang pingat perak pada pertandingan Malaysian International Young Inventors Olympiad (MIYIO) di Pulau Pinang, tahun lalu 

Berita Harian X