X
Ahad, 1 April 2018 | 5:34pm
BURHANUDIN Saad (tengah) dan Pengurus Cawangan Bank Rakyat Muadzam Shah, Norpazlyaton Pilus bergambar bersama pelajar yang menyertai Seminar Didik Rakyat UPSR 2018 anjuran Yayasan Bank Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Pahang, Muadzam Shah. - Foto Muhd Asyraf Sawal
BURHANUDIN Saad (tengah) dan Pengurus Cawangan Bank Rakyat Muadzam Shah, Norpazlyaton Pilus bergambar bersama pelajar yang menyertai Seminar Didik Rakyat UPSR 2018 anjuran Yayasan Bank Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Pahang, Muadzam Shah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Jenama BH mampu lonjak kecemerlangan pendidikan

MUADZAM SHAH: Jenama BH yang kukuh, dikenali dan diyakini terutama menerusi penerbitan sisipan Didik, Minda serta Skor berpotensi menyumbang kepada kelangsungan kejayaan bidang pendidikan di negara ini.

Penolong Pegawai (Koakademik) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rompin, Burhanudin Saad, berkata ini terbukti apabila beberapa sekolah terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 baru-baru ini, seperti Sekolah Tun Fatimah (STF) turut menggunakan sisipan berkenaan sebagai bahan bantu belajar di sekolah mereka.

Beliau berkata, lebih penting elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang ditekankan dalam kandungan sisipan dan seminar peperiksaan yang dilaksanakan akhbar ini mampu membantu pelajar khususnya membabitkan teknik serta panduan menjawab peperiksaan terkini.

"Penilaian pelajar bukan setakat bergantung kepada pengetahuan dan hafalan semata-mata, sebaliknya, penguasaan pelajar adalah berdasarkan bagaimana mereka menggunakan ilmu dipelajari untuk menyelesaikan soalan seperti KBAT, ini sekali gus meraih kecemerlangan dalam peperiksaan.

"Saya amat menggalakkan guru menggunakan sisipan BH ini dalam sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam bilik darjah kerana penulis terbabit adalah mereka yang memiliki pengalaman luas serta berkepakaran tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Seminar Didik Rakyat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 tajaan Yayasan Bank Rakyat (YBR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Pahang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Cawangan Bank Rakyat Muadzam Shah, Norpazlyaton Pilus; dan Eksekutif Pentadbiran serta Pembangunan Modal Insan YBR, Wada'ah Husin.

Sementara itu, Norpazlyaton berkata, di samping menjadi sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR), pihaknya juga berharap supaya peserta dapat memanfaatkan peluang dan ilmu diperoleh bagi memantapkan persediaan menjelang peperiksaan penting itu.

"Kerjasama erat Bank Rakyat, YBR dengan BH ini sudah dijalin sejak 2003 lagi, malah lebih 200,000 peserta sudah mendapat manfaat daripada seminar yang dikenali SKOR A sebelum ini.

"Saya berharap agar murid dapat membuat persiapan awal dengan menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan termasuk melalui program pendidikan seperti ini, pada masa sama, mendapat keputusan terbaik dalam UPSR tahun ini," katanya.

INFO

Seminar Didik Rakyat YBR-BH

* Disertai seramai 200 peserta dari empat sekolah sekitar iaitu SK Muadzam Shah, SK Muadzam Jaya, SK Bukit Ibam dan SK Bukit Ridan

* Mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris

* Selain UPSR, turut membabitkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X