Selasa, 20 Februari 2018 | 9:24pm
PENSYARAH Jabatan Bahasa Arab Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mohammad Taufiq Abdul Ghani (kanan) bersama mentornya selepas berjaya merangkul pingat emas dalam K-NOVASI 2018 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PENSYARAH Jabatan Bahasa Arab Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mohammad Taufiq Abdul Ghani (kanan) bersama mentornya selepas berjaya merangkul pingat emas dalam K-NOVASI 2018 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

e-Siyasah mudahkan belajar bahasa Arab pelancongan

KUALA KANGSAR: Pengajaran dan pembelajaran tahap asas bahasa Arab kini lebih mudah menerusi e-Siyahah iaitu pembelajaran secara interaktif melalui laman web menggabungkan kaedah pengajian tradisional dengan teknologi digital.

Menerusi e-Siyahah, pelajar dapat mengakses kandungan pembelajaran interaktif bahasa Arab secara percuma melalui paparan video dan teks termasuk asas sebutan huruf hijaiyyah yang disulami audio serta latihan pentaksiran.

Melaluinya juga, pengguna dapat berinteraksi secara terus dengan pengendali laman itu bagi sebarang pertanyaan.

Inovasi e-Siyahah hasil cetusan idea Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mohammad Taufiq Abdul Ghani bersama rakan penyelidiknya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Wan Ab Aziz Wan Daud.

PENSYARAH Jabatan Bahasa Arab Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mohammad Taufiq Abdul Ghani (kanan) menunjukkan laman e-Siyahah kepada pelajar USAS. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PENSYARAH Jabatan Bahasa Arab Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mohammad Taufiq Abdul Ghani (kanan) menunjukkan laman e-Siyahah kepada pelajar USAS. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Inovasi itu sudah pun digunapakai di dua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, malah lebih membanggakan ia turut merangkul beberapa pingat pada pertandingan inovasi di dalam dan luar negara.

Mohammad Taufiq berkata, setakat ini e-Siyahah lebih tertumpu kepada skop pelancongan yang khusus bagi memudahkan pelajar jurusan pelancongan mempelajari bahasa Arab sebagai bahasa ketiga.

Katanya, ia turut berpotensi dikembangkan untuk kemudahan umat Islam ketika menunaikan haji dan umrah apabila menguasai asas bahasa itu.

"Langkah itu diambil selepas saya menyedari kunjungan pelancong dari negara Arab ke Malaysia dicatatkan antara yang tertinggi. Atas alasan itu, ada keperluan bagi pelajar yang mengambil jurusan pelancongan di IPT tahu berbahasa Arab walaupun pada tahap asas," katanya.

Ketika ditemui di USAS, beliau yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan Teknologi Instruksional di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata usaha berkenaan bagi mengubah suasana pembelajaran bahasa Arab.

PENSYARAH Jabatan Bahasa Arab Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mohammad Taufiq Abdul Ghani menunjukkan akses laman e-Siyahah cetusannya yang dapat dibuka melalui peranti mudah alih. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PENSYARAH Jabatan Bahasa Arab Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mohammad Taufiq Abdul Ghani menunjukkan akses laman e-Siyahah cetusannya yang dapat dibuka melalui peranti mudah alih. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Beliau berkata, suasana yang mahu diubah adalah dari kaedah tradisional berorientasikan bimbingan guru kepada yang berorientasikan pelajar.

Inovasi berkenaan juga, katanya, sedikit sebanyak dapat menghakis persepsi masyarakat yang kurang berminat mempelajari bahasa Arab atas alasan sukar mempelajarinya atau tiada masa dan wang untuk berbuat demikian menerusi kelas intensif berbayar.

"Bukan semua dapat meluangkan masa mempelajari bahasa Arab kerana biasanya ia memerlukan pelajar belajar secara 'talaqqi' atau berhadapan dengan guru. Jadi inisiatif sebegini (e-Siyahah) diharap memudahkan pelajar mempelajarinya tanpa terikat mengikut tempat dan waktu," katanya.

Beliau berkata, skop platform e-Siyahah akan diperluaskan pada masa depan, dan bagi tujuan itu pihaknya sedang dalam proses menaiktaraf laman web berkenaan kepada aplikasi di telefon pintar.

Pihaknya juga, Mohammad Taufiq berkata, berhasrat mengadakan usaha sama dengan Tourism Perak selaku badan pengelola pelancongan di negeri ini untuk melatih kakitangan badan itu supaya tahu berbahasa Arab.

"Diharapkan ini adalah permulaan sebelum ia dikembangkan kepada skop yang lebih luas selain dinaiktaraf hingga bukan sahaja memudahkan pelajar IPT, malah memudahkan urusan masyarakat awam khususnya ketika berkunjung ke negara Arab seperti ketika mengerjakan umrah dan haji.

"Bagi USAS, penggunaannya disasarkan kepada pelajar program pengajian Hospitaliti dan Pengurusan Hotel yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi," katanya.

LAMAN e-Siyahah cetusan pensyarah di Jabatan Bahasa Arab Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mohammad Taufiq Abdul Ghani. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
LAMAN e-Siyahah cetusan pensyarah di Jabatan Bahasa Arab Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Mohammad Taufiq Abdul Ghani. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

INFO

  • Laman e-Siyahah dapat diakses secara percuma di pautan http://esiyahah.com/

  • Antara anugerah dimenangi;
  • Pingat emas dalam K-NOVASI 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Disember 2017
  • Pingat Perak dalam beberapa karnival dan pertandingan inovasi peringkat antarabangsa, antaranya International University Carnival e-Learning (IUCEL) 2016 dan 2017, International Eureka Innovation Exhibition 2017 khusus bagi inovasi pembelajaran bahasa Arab berdasarkan platform laman web.

Berita Harian X