X
Sabtu, 9 Disember 2017 | 2:27pm
DR Azlan (tengah dua dari kiri) dan Mohd Rithaudden Makip (tengah dua dari kanan) bersama-sama peneraju syarikat perusahaan kecil dan sederhana yang menamatkan program SME@UTM 2017 di Johor Bahru, hari ini.
DR Azlan (tengah dua dari kiri) dan Mohd Rithaudden Makip (tengah dua dari kanan) bersama-sama peneraju syarikat perusahaan kecil dan sederhana yang menamatkan program SME@UTM 2017 di Johor Bahru, hari ini.

UTM rai CEO

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan peneraju perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berjaya menamatkan program SME@UTM 2017.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Azlan Abdul Rahman, menyampaikan sijil dan trofi kepada 23 ketua pegawai eksekutif (CEO) itu.

Program kerjasama antara SME Corporation (SME Corp) dan Pusat Inovasi Mahasiswa dan Teknologi Keusahawanan UTM itu berlangsung selama tiga bulan dan mempunyai sembilan modul keusahawanan teknologi.

Timbalan Ketua Eksekutif II SME Corp, Mohd Rithaudden Makip, berkata pelaksanaan SME@UTM 2017 menarik penyertaan CEO syarikat PKS daripada pelbagai latar belakang dan juga pengalaman perniagaan.

"Saya berharap peserta mendapat manfaat daripada semua modul yang dikongsi sepanjang program ini dijalankan termasuk modul khusus yang diperkenalkan oleh UTM iaitu 'Technopreneurship'.

"Program ini membantu usahawan kita memperkembangkan pemahaman perniagaan terutamanya dari sudut pemasaran kreatif, strategi pertumbuhan perniagaan, rangkaian perniagaan yang inovatif serta apa yang diperlukan untuk menjadi CEO bertaraf Dunia," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Mohd Rithaudden berkata, bagi memastikan kesinambungan program, SME Corp dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad turut memberi peluang kepada graduan untuk mengikuti dua program lanjutan, iaitu Program Pembangunan Pengurusan Kanan dan Kursus Lanjutan untuk SME@Universiti di Jepun.

Sementara itu, Azlan berkata, ada perubahan nyata dalam reka bentuk dan penyampaian modul SME@UTM 2017 berbanding tahun lalu iaitu berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0.

"Ini disebabkan kesan yang bakal ditempuhi warga dunia dan tidak lupa juga di negara ini yang memberikan reaksi bercampur baur kepada revolusi itu, namun sebagai pemimpin atau CEO, ia tidak boleh dipandang remeh.

"Sekiranya kita tidak mengambil serius untuk memahami dan mengaplikasinya, kita mungkin akan tertinggal dan model perniagaan kita akan menjadi tidak relevan lagi," katanya.

Berita Harian X