Selasa, 28 November 2017 | 12:21pm
TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Roshada Hashim. - Foto ihsan USIM
TIMBALAN Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Roshada Hashim. - Foto ihsan USIM

Timbalan Naik Canselor USIM terima anugerah dari India

BANDAR BARU NILAI: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Roshada Hashim, menerima anugerah 'Prof Indira Parikh 50 Women In Education Leaders' di Taj Lands End, Mumbai, India, semalam.

USIM dalam satu kenyataan berkata, Dr Roshada, 57, yang berasal dari Pulau Pinang, adalah antara 50 penerima anugerah itu dari seluruh dunia, atas pencapaiannya dalam penyelidikan selama lima tahun dalam Post Graduates in History and Management.

Katanya, beliau yang berpengalaman dalam bidang akademik lebih 30 tahun, komited dalam pembangunan akuakultur untuk petani berskala kecil dan sederhana di negara membangun.

"Penghargaan itu diberikan kerana pencapaian luar biasa yang ditunjukkan meliputi kriteria Strategic Prespective, Future Orientation, Track Record, Integrity and Ethics, Ability for Sustainability Education dan Evaluation Approach," katanya.

Dalam sumbangan lain, Dr Roshada yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Salford, juga terbabit dalam bidang kepakaran nutrisi ikan, strategi dan pengurusan pemakanan serta biokimia analitikal.

Katanya, beliau juga kerap menerima jemputan untuk memberikan ucapan dasar di persidangan tempatan dan antarabangsa hasil daripada penyelidikan yang dijalankan.

"Beliau turut menerbitkan lebih daripada 50 kertas kerja dalam jurnal tinjauan semula setara dalam bidang nutrisi ikan kawasan dan pengurusan pemakanan. Selain itu, beliau turut membentangkan lebih 30 kertas kerja di persidangan tempatan serta antarabangsa dalam bidang yang sama," katanya

Katanya, kredibiliti wanita itu juga terserlah apabila pernah diberi kepercayaan menerajui dua pembangunan iaitu Pelan Strategik 10 Tahun untuk Pendidikan Siswazah di USM (2010) dan Pengantarabangsaan di USIM (2013).

"Pembabitan beliau sebagai Pengerusi Penganjur Persidangan Universiti Negara Islam Dunia tahun lalu, turut mendorongnya untuk lebih komited membawa perubahan kepada landskap Pendidikan Tinggi khususnya dalam dunia Islam," katanya.

Berita Harian X