Isnin, 20 November 2017 | 5:57pm
PENERIMA Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ke-15, Dr Mohd Daud Bakar. - Foto Ihsan USIM
PENERIMA Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ke-15, Dr Mohd Daud Bakar. - Foto Ihsan USIM

849 graduan USIM terima ijazah

BANDAR BARU NILAI: Seramai 849 graduan menerima ijazah masing-masing bersempena sidang pertama dan kedua Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ke-15, di sini, hari ini.

Majlis kali ini menyaksikan sebanyak lima sidang, bermula dengan istiadat pembukaan majlis konvokesyen yang disempurnakan oleh Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Selain itu, USIM turut menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat kepada Datuk Dr Mohd Daud Bakar Mohd Daud, 52, yang juga pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie, serta Penyandang Kursi Akademik, Yayasan Tun Ismail di Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM.

Beliau yang berasal daripada Alor Setar, Kedah adalah tokoh tersohor dan dihormati dalam bidang kewangan Islam serta penerima Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 2014.

Pada tahun 2015, atas kepimpinan di Amanie Advisors, beliau menerima Anugerah Infrastruktur Ilmu Ekonomi Islam menerusi 'Global Islamic Economy Summit 2015' yang disampaikan oleh Naib Presiden dan Perdana Menteri Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Sementara itu, bekas Profesor di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM, Profesor Dr Nor Aripin Shamaan, 64, dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus.

Beliau yang berasal dari Gerik, Perak, mempunyai kepakaran dalam bidang biokimia, memberi sumbangan besar dalam usaha memantapkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran Sarjana Muda Perubatan dan Sugeri di FPSK.

Walaupun sudah bersara pada Ogos 2016, beliau masih menyumbangkan khidmat bakti di FPSK sebagai mentor kepada penyelidik muda.

Seramai 2,564 graduan menerima skrol masing-masing pada konvokesyen kali ini secara berperingkat di Dewan Tuanku Canselor, USIM bermula hari ini hingga Khamis ini.

Info

Pesta Konvo USIM 18 sehingga 23 November 2017

* Aktiviti dan pertandingan, program ilmiah, jualan dan pameran, sukan dan rekreasi serta persembahan kumpulan Nasyid Hijjaz pada 22 November.

Berita Harian X