Isnin, 20 November 2017 | 4:45pm
SYAHRIL M Azmi (kiri) menyerahkan kunci kereta Honda Jazz baharu yang diberikan oleh HMSB untuk tujuan pembelajaran pelajar PAV Automotif pada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Mohd Rashid Mohd Sidek (tiga dari kiri) sambil diperhatikan Pengetua SMK Sultan Alauddin, Salbiah Ahmad (kanan) di Masjid Tanah.- Foto Noor Azurin Mohd Sharif
SYAHRIL M Azmi (kiri) menyerahkan kunci kereta Honda Jazz baharu yang diberikan oleh HMSB untuk tujuan pembelajaran pelajar PAV Automotif pada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Mohd Rashid Mohd Sidek (tiga dari kiri) sambil diperhatikan Pengetua SMK Sultan Alauddin, Salbiah Ahmad (kanan) di Masjid Tanah.- Foto Noor Azurin Mohd Sharif

SMK Sultan Alauddin dapat Honda Jazz

MASJID TANAH: Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) menyerahkan satu unit kereta Honda Jazz 1.5L kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin di sini, bagi kegunaan pelajar yang mengikuti program Pendidikan Asas Vokasional (PAV).

Timbalan Presiden Kumpulan Pembuatan Honda Malaysia, Syahril M Azmi, berkata kereta bernilai lebih RM80,000 itu akan dijadikan bahan pembelajaran kepada pelajar yang akan mendukung kemajuan teknologi automotif negara.

Beliau berkata, selain SMK Sultan Alauddin, Honda Malaysia turut menyumbang tiga lagi unit kenderaan kepada SMK Naning, Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin dan Kolej Vokasional Melaka Tengah.

"Dengan penyerahan ini, kita berharap dapat meneruskan hubungan dua hala dengan pihak sekolah seterusnya menjalin perkongsian teknologi dan latihan industri di syarikat ini.

"Malah, wakil Honda Malaysia juga akan datang ke sekolah dalam tempoh terdekat bagi memberi latihan dan pembelajaran mengenai teknologi, khususnya kepada guru dan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kereta berkenaan yang disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Mohd Rashid Mohd Sidek di SMK Sultan Alauddin, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali dan Pengetua SMK Sultan Alauddin, Salbiah Ahmad.

SMK Sultan Alauddin adalah satu-satunya sekolah harian di Melaka yang mempunyai mata pelajaran PAV Automotif yang dikhususkan kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata jalinan hubungan dengan pihak Honda berupaya meningkatkan tahap pencapaian pelajar dalam bidang automotif.

"Kita mahu memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilihat mampu mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Berita Harian X