Sabtu, 4 November 2017 | 7:01pm

BH rai 300 warga pendidik

KUALA NERUS: Lebih 300 pendidik daripada 110 sekolah rendah dan menengah dari Terengganu dan Pahang, diraikan dalam Majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama Guru di TH Hotel di sini, hari ini.

Majlis itu diadakan bagi menghargai pendidik dan sekolah yang setia melanggan sisipan pendidikan BH iaitu Didik, Minda dan Skor, sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin, berkata sisipan pendidikan BH diakui banyak membantu sekolah di Terengganu mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama.

Sebagai contoh, sisipan Didik yang digunakan sepenuhnya dalam pembelajaran di beberapa sekolah di Hulu Terengganu, berjaya melonjakkan kecemerlangan daerah itu dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sejak 2010.

Beliau turut memuji usaha BH menghargai pendidik menyeru lebih banyak sekolah menggandakan usaha untuk menjadikan sisipan pendidikan dikeluarkan BH sebagai bahan latihan tambahan utama kerana ia terbukti meningkatkan prestasi murid dan pelajar terutama di sekolah yang melanggan.

"Saya mengakui keberkesanan sisipan pendidikan BH khususnya Didik kerana ketika saya menjadi Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu.

"Kita menggunakan Didik sepenuhnya dalam latihan di sekolah dan hasilnya sejak 2010 bermulanya kita melakukan lonjakan dalam UPSR.

"Justeru, saya harap pihak sekolah lebih kreatif dan aktif mencari penaja bagi melanggan sisipan pendidikan BH sebagai bahan latihan tambahan di sekolah," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Yang turut hadir Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar dan Pengurus Kanan Jabatan Jualan Akhbar dan Pengedaran, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Zattul Iffah Mohamad Zaidi.

Shafruddin berkata, hampir 34 peratus sekolah rendah dan menengah di negeri ini melanggan sisipan pendidikan BH, dengan enam sekolah yang melanggan Didik tersenarai dalam sekolah terbaik peringkat negeri dalam UPSR sebelum ini.

"Sisipan pendidikan BH bukan sahaja menawarkan latihan terkini, tetapi lebih penting lagi menepati format dan silibus ditetapkan Kementerian Pendidikan," katanya

Pada majlis itu, guru turut diberikan taklimat jualan dan pengedaran akhbar BH, selain forum 'Peranan Akhbar Dalam Proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc)' serta cabutan bertuah.

Pengarang Pendidikan Berita Harian, Fadzlena Jafar (tengah) bersama guru-guru pada majlis Penghargaan BH Sepetang Bersama-Sama Guru 2017 di TH Hotel, Kuala Nerus. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Berita Harian X