JOHOR BAHRU: Portal pendidikan oleh The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), FullAMark hari ini melancarkan Kelas FullAMark, pakej lanjutan terbaharu kepada dua sekolah perintis di Johor.
Bagi mengukur keberkesanan pakej lanjutan baharu itu, NSTP akan melaksanakan program Sekolah Perintis FullAMark dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).
Dua sekolah yang terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Langsat dan Maktab Sultan Abu Bakar.
Majlis penyerahan program Sekolah Perintis FullAMark kepada wakil sekolah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Datuk Mohamed Ghazali Mohamed Yusoff diiringi Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Farah Ezrin Mohd Rashidi di gerai NSTP sempena Karnival Jom Heboh di Angsana Mall di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, berkata kerjasama dengan YRZSNJ amat bertepatan dengan misi syarikat untuk membantu kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh negara.
"Kami sangat berbesar hati kerana akan bekerjasama dengan YRZSNJ bagi melaksanakan program Sekolah Perintis FullAMark sebagai satu cara meningkatkan pencapaian akademik pelajar di Johor dalam peperiksaan awam.
"Program kerjasama dengan YRZSNJ sangat bertepatan dengan misi keseluruhan NSTP untuk membantu kerajaan meningkatkan kualiti pembelajaran menerusi teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), terutama dalam kalangan pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah," katanya.
Sementara itu, Mohamed Ghazali, berkata pihaknya memuji dan menyokong penuh usaha NSTP membantu pembelajaran kumpulan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
"Menerusi portal atas talian ini juga membolehkan suasana pembelajaran dapat diubah suai mengikut kehendak semasa, membuatkan pelajar dan guru tidak bosan selain akses yang tiada sempadan dalam pembelajaran," katanya.
Guru Penolong Kanan Maktab Sultan Abu Bakar, Hashim Andimori, berkata pihak sekolah berterima kasih kepada NSTP dan YRZSNJ memilih sekolah ini sebagai perintis untuk Kelas FullAMark.
"Ini dapat membantu pembelajaran ke arah atas talian selain boleh melahirkan pelajar yang berfikir pada aras tinggi dan memberi rujukan tambahan bermutu tinggi untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mahupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.