Selasa, 10 Oktober 2017 | 11:02pm
ALAT memasak suria daripada payung dibangunkan pasukan inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim, Sungai Petani, Kedah.
MAHAMAD (dua kiri) dan pasukan inovasi sekolah, Muhammad Isma Hazeeq Ismail, Aiman Fahmi Mohd Zul dan Anurack Jongjut, bersama piala yang dimenangi mereka pada Pertandingan Karnival Pendidikan Sains, Inovasi dan Teknologi Hijau (KAPSAINTEK) 2017 peringkat Kedah, bulan lalu.
PRODUK dihasilkan pasukan inovasi SMK Ibrahim memiliki keistimewaan tersendiri seperti penggunaan bahan api sifar, tenaga solar boleh diperbaharui, di samping tidak menjejaskan alam sekitar.
ALAT memasak SMK Ibrahim menggunakan bahan yang murah dan ringan berbanding dapur konvensional.

Payung memasak suria

SUNGAI PETANI: Idea untuk mencipta produk berkonsepkan hijau dan menggunakan bahan terpakai mendorong pasukan inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim, di sini, membangunkan alat memasak suria daripada payung.

Guru pasukan inovasi sekolah itu, Mahamad Hamid, berkata inovasi berkenaan adalah berteraskan kelestarian hijau dari awal proses pembuatan merangkumi penggunaan bahan, warna dan bentuk serta kajian yang dijalankan.

"Kami menggunakan payung terpakai untuk menyediakan alat memasak ini dengan menggantikan kain baharu yang lebih ringan dan seterusnya menampal kertas aluminium pada permukaan dalam payung itu.

"Proses akhir adalah dengan menyembur cat hitam pada permukaan luar payung bagi memastikan penyerapan haba yang lebih baik," katanya kepada BH Skor.

Miliki keistimewaan

Menjelaskan lebih lanjut, Mahamad yang juga Guru Cemerlang Fizik berkata, produk itu memiliki keistimewaan tersendiri seperti penggunaan bahan api sifar, tenaga solar boleh diperbaharui, di samping tidak menjejaskan alam sekitar.

"Projek ini dapat menggalakkan kesedaran mengenai betapa pentingnya amalan kelestarian dalam kehidupan seharian, sekali gus mempromosi punca tenaga alternatif yang boleh digunakan di negara ini.

"Sehubungan itu, amalan penggunaan tenaga yang minimum ini perlu terus diperluaskan serta dapat menjamin kebersihan alam sekitar untuk jangka panjang," katanya.

INFO

Alat memasak suria:

  • Idea mula dibangunkan pada Ogos 2015.
  • Kos bahan yang murah dan bersifat ringan berbanding dapur konvensional lain.
  • Pasukan inovasi terdiri daripada pelajar Tingkatan Empat iaitu Muhammad Isma Hazeeq Ismail, Aiman Fahmi Mohd Zul dan Anurack Jongjut.
  • Memenangi pingat perak pada Pertandingan Karnival Pendidikan Sains, Inovasi dan Teknologi Hijau (KAPSAINTEK) 2017 peringkat Kedah di Pusat Sains Negara Wilayah Utara, Alor Setar, bulan lalu.

Berita Harian X