Rabu, 27 September 2017 | 1:30pm
INOVASI Biodegradable Coir Bag.

Beg kertas daripada sabut kelapa

KUALA LUMPUR: Mendapat ilham untuk menghasilkan beg kertas daripada sabut kelapa tua mendorong pasukan inovasi Sekolah Menengah Sains (SMS) Alam Shah, di sini, membangunkan produk berasaskan bahan terpakai yang dinamakan 'Biodegradable Coir Bag'.

Guru Penasihat Sains dan Teknologi sekolah itu, Ahmad Sabiren Ahmad Bashah, berkata idea mencipta inovasi itu tercetus pada Mac lalu ketika perbincangannya bersama-sama pelajar yang ingin menyertai Beyond Engineering Innovation (BEGIN) Challenge 2017 di Universiti Malaya yang bertemakan Trash to Treasure.

Beliau yang juga guru Fizik berkata, proses awal untuk membangunkan produk itu ialah mengumpulkan sebanyak mungkin kulit dan sabut kelapa tua yang kemudiannya dikisar sehingga halus.

"Pelajar perlu menghasilkan satu bingkai kayu sebagai acuan yang hasil kisaran sabut akan dicampur dengan bahan pelekat, dikacau sehingga sebati serta dituang ke atas acuan bingkai kayu itu.

"Bahan berkenaan kemudian dijemur sehingga kering lalu menjadi sekeping kertas keras atau kad. Bagaimanapun, projek ini perlu menjalani beberapa ujian makmal bagi menguji ketahanannya," katanya kepada BH Skor, baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Sabiren berkata, inovasi itu memiliki keistimewaan tersendiri dan berpotensi dikomersialkan kepada industri kecil serta kraf tangan di negara ini.

"Selain itu, penghasilan beg kertas seperti ini dapat mematuhi saranan kerajaan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik yang mencemarkan alam sekitar.

"Projek ini berkait rapat dengan kempen kesedaran alam sekitar, kitar semula dan teknologi hijau yang sering diketengahkan kini kerana menggunakan bahan buangan terpakai dan bebas daripada bahan kimia terlarang," katanya.

INFO

Inovasi beg kertas daripada sabut kelapa tua

* Mula dibangunkan pada Mac lalu

* Kos penghasilan yang murah menggunakan bahan semula jadi

* Mendapat bantuan pensyarah Universiti Malaya (UM) Dr Raja Ariffin Raja Ghazilla yang

dilantik sebagai mentor pasukan inovasi ini

* Pasukan inovasi terdiri daripada pelajar Tingkatan Empat dan Lima iaitu Ammar Haziq

Ahmad Rizauddin, Danial Hakim Zaidi, Muhammad Haziq Nor Shaiddan dan Syed Ahmad

Fattahuddin Syed Abd Ghani

* Memenangi pingat emas pada Pertandingan BEGIN Challenge 2017 anjuran Fakulti

Kejuruteraan UM pada Mei lalu.

Berita Harian X