Ahad, 10 September 2017 | 4:07pm
NUR Saliza yang juga graduan Jabatan Kejuruteraan Elektrik pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Politeknik Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Sebak tiada ayah saksi kejayaan

KUALA TERENGGANU: "Saya sebak kerana tidak dapat berkongsi kejayaan ini bersama bapa yang meninggal pada Disember lalu, sedangkan dulu arwah yang menghantar saya masuk ke sini".

Demikian kata anak yatim piatu, Nur Saliza Awang Besar, 25, dari Kampung Kubang Ikan di sini, yang menerima Anugerah Khas Ketua Jabatan sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Kuala Terengganu Ke-16 di sini, hari ini.

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi itu kehilangan bapanya, Awang Besar Mohammad kerana penyakit gout dan buah pinggang pada Disember tahun lalu, manakala ibunya, Saadiah Mohamad, meninggal dunia selepas beliau selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lapan tahun lalu.

"Saya anggap kejayaan ini adalah berkat pengorbanan saya untuk bapa ketika hayatnya.

"Pastinya saya sedih tidak dapat berkongsi kejayaan ini kerana bapa bersungguh mahu saya melanjutkan pengajian dan arwah sempat menghantar saya mendaftar di Politeknik ini walaupun keadaannya kurang sihat ketika itu," katanya sambil menahan sebak.

Nur Saliza berkata, selepas ibunya meninggal, beliau menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat di Politeknik Perlis dan di UniKL, tetapi terpaksa menolak kerana mahu menjaga ayahnya yang uzur.

"Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana jarak sekolah tidak jauh daripada rumah.

"Jadi bolehlah saya menjaga ayah memandangkan kakak dan abang sudah berkeluarga dan tinggal berjauhan," katanya.

Saliza berkata, selepas tamat STPM pada 2013, penyakit bapanya semakin teruk dan memaksanya menjalani rawatan di hospital lebih kerap.

"Ketika itu saya terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah kerana terpaksa menghantar dan menjaga arwah ayah di hospital memandangkan tahap kesihatannya tidak menentu.

"Bagaimanapun, saya menyambung semula pengajian kerana arwah ingin saya menyambung pelajaran bagi menjamin masa depan," katanya.

Nur Saliza yang kini tinggal bersama kakaknya, Nazirah Awang Besar, 27, berhasrat menyambung pelajarannya selepas ini dalam bidang pendidikan kerana ingin mencapai cita-cita sebagai pendidik.

Berita Harian X