Selasa, 5 September 2017 | 5:19pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (dua kiri) bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) bertanya kepada Ahmad Faiz Ibrahim, 19 yang menghadapi kecacatan otak bahagian saraf kawalan yang dipanggil 'Celebral Palsy' menyebabkan tidak boleh duduk atau berjalan antara pelajar yang memasuki Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) beri keistimewaan mengikuti kuliah dirumah tanpa berada di bilik kuliah di Majlis Perasmian Asrama Taman Ilmu di Asrama Taman Ilmu, Besut. - Foto Mohamad Ishak

Penuntut OKU UniSZA belajar dalam talian

JERTIH: Bekas pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016, Ahmad Faiz Ibrahim, 19, terus membuktikan kecacatan bukan penghalang untuknya meneruskan cita-cita melanjutkan pengajian ke universiti.

Ahmad Faiz, dari Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan, yang menghidap penyakit palsi serebrum, iaitu kecacatan otak bahagian saraf kawalan antara pelajar beruntung apabila Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membenarkan beliau mengikuti pengajian di rumah tanpa perlu berada di bilik kuliah.

Keistimewaan itu diberikan kerana anak sulung dari lima beradik itu tidak boleh duduk atau berjalan, tangan tidak mampu memegang barang dan hanya mampu duduk di kerusi roda.

Ahmad yang sebelum ini muncul pelajar cemerlang STAM 2016 di Kelantan, diterima melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) di UniSZA di Falkulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA.

"Saya gembira dan sangat bersyukur kerana dapat membuktikan kepada orang lain, remaja OKU seperti saya juga boleh berjaya jika ada kemahuan," katanya.

Beliau dibawa khas oleh UniSZA sempena majlis perasmian Asrama UniSZA oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Taman Ilmu Tembila, dekat sini hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang ditemui pada majlis itu berkata, pihaknya akan memberi keistimewaan dan kelonggaran kepada penuntut terbabit untuk mengikuti pengajian secara dalam talian dan beliau hanya perlu mengikuti kuliah di rumah.

"Ahmad Faiz turut diberikan komputer riba sumbangan Menteri Besar untuk kemudahan belajar, manakala UniSZA akan membuat pemantauan terhadapnya sepanjang pengajian di rumah.

"Ahmad Faiz penuntut pertama diberi kemudahan seumpama ini kerana beliau mempunyai kebolehan luar biasa dan mampu bersaing dengan individu normal," kata Idris.

Idris berharap dengan peluang diberikan, Ahmad Faiz dapat melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

Ahmad Faiz mencuri perhatian ramai apabila muncul sebagai antara pelajar terbaik STAM 2016 di Kelantan, walaupun terpaksa menjawab soalan peperiksaan dengan bantuan dagu dan mulut.

Berita Harian X