Rabu, 23 Ogos 2017 | 9:08pm
CAHAYA matahari mampu menjadi sumber tenaga yang berterusan jika menggunakan sel panel solar yang cekap. - Foto Ihsan Pembaca
PROF Dr Saad Mekhilef. - Foto Ihsan Pembaca

Inovasi optimum penjanaan tenaga solar

KUALA LUMPUR: Penyelidik Universiti Malaya (UM) berjaya mencipta alat pengesan dan pengawal kuasa maksimum untuk sistem panel solar dengan menampilkan tiga kelebihan utama.

Penghasilan inovasi itu bertujuan meningkatkan kecekapan sistem solar yang menjana tenaga elektrik kerana mampu mengesan dan mengawal nilai penjanaan kuasa.

Tiga kelebihan utama alat itu ialah meningkatkan kecekapan penyongsang panel solar, mampu berfungsi dalam keadaan separa gelap dan mesra pengguna kerana mudah digunakan.

Penyelidik utama dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan UM, Prof Dr Saad Mekhilef, berkata statistik menunjukkan peningkatan penggunaan sistem solar (photovoltaic array), malah tenaga solar photovoltaic sedia ada di seluruh dunia tahun lalu ialah sekitar 77 gigawatt.

Katanya, penggunaan bahan api untuk menjana kuasa elektrik ternyata membawa masalah kepada bumi dan alam sekitar melalui pengeluaran gas karbon dioksida.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengganti untuk penjanaan elektrik lebih mesra alam sangat diperlukan dan penggunaan panel suria ialah antara pilihan ramai bagi tujuan berkenaan.

"Bagaimanapun, kuasa elektrik keluaran panel suria amat bergantung kepada cahaya matahari yang diterima. Oleh itu, penggunaan teknik kawalan yang betul adalah perlu bagi memastikan panel suria sentiasa dapat mengeluarkan kuasa elektrik.

PROTOTAIP alat pengesan dan pengawal kuasa maksimum untuk digunakan bersama sistem panel solar yang sedang diuji di makmal Jabatan Kejuruteraan Elektrik UM. - Foto Ihsan Pembaca

GAMBAR rajah skema sistem yang dibangunkan oleh penyelidik UM. - Foto Ihsan Pembaca

"Sel silikon di dalam panel suria menukarkan tenaga cahaya matahari kepada tenaga elektrik. Dalam pasaran kini, kecekapan proses penukaran tenaga cahaya kepada tenaga elektrik tertinggi ialah sekitar 20 peratus dan tenaga yang dapat dikeluarkan panel suria adalah terhad," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Prof Saad berkata, adalah penting untuk memastikan 20 peratus tenaga yang ditukar dapat digunakan sepenuhnya melalui kawalan jejakan kuasa maksimum.

Beliau berkata, pengawal yang diusahakan bertujuan memastikan tenaga maksimum sentiasa dikeluarkan daripada panel suria.

"Apabila panel suria dalam keadaan penggelapan separa, tenaga elektrik dikeluarkan akan jatuh sekiranya tiada kawalan yang betul kerana ada lebih daripada satu titik maksimum dan kawalan jejakan kuasa maksimum menjadi semakin susah.

"Oleh itu, penyelidikan diperlukan untuk memperoleh satu teknik kawalan berkesan," katanya.

Prof Saad berkata, inovasi itu boleh digunakan bersama penyongsang suria untuk menukarkan arus terus (DC) daripada panel suria kepada arus alternatif (AC).

Ketika ini, beliau berkata, ramai pengguna memasang panel suria yang berkuasa kira-kira empat kilowatt (kW) di atas bumbung rumah atau bangunan komersial.

"Inovasi ini juga boleh meningkatkan tenaga dijana panel suria sedia ada, sekali gus dapat menambah hasil jualan tenaga elektrik daripada panel suria yang dipasang di atas bumbung bangunan," katanya.

CONTOH 'ladang' solar 6kW di atas bumbung bangunan Menara Kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan UM. - Foto Ihsan Pembaca

INFO

Alat pengesan dan pengawal kuasa maksimum untuk sistem panel solar

  • Penyelidikan bermula pada 2011
  • Prototaip disiapkan pada 2014
  • Projek turut dijayakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM, Dr Tey Kok Soon

Berita Harian X