Rabu, 16 Ogos 2017 | 10:02pm
PATERI hijau memiliki kekuatan dan ketahanan seperti pateri timah berplumbum yang digunakan dalam industri aeroangkasa ketika ini. - Foto Nik Hariff Hassan

Pateri hijau inovasi aeroangkasa

PENYELIDIK Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghasilkan produk pateri hijau, timah tanpa plumbum dan bahan toksik, yang lebih selamat dan boleh diguna pakai dalam keadaan persekitaran ekstrem.

Inovasi itu mengambil kira peraturan melarang penggunaan bahan toksik dalam pembuatan komponen elektrik dan elektronik yang ditetapkan Kesatuan Eropah (EU) sejak 2003.

Timbalan Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UniMAP, Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, berkata produk itu lebih menjurus kepada penggunaan untuk aplikasi peralatan elektronik dalam industri aeroangkasa.

Walaupun peraturan dikeluarkan EU itu tidak membabitkan industri penerbangan, beliau berkata, pihaknya mengambil langkah awal dengan memperkenalkan inovasi berkenaan.

"Inisiatif ini dilakukan kerana industri penerbangan dijangka akan turut melalui peraturan sama pada masa depan.

"Produk dihasilkan memiliki kekuatan dan ketahanan seperti pateri timah berplumbum yang digunakan dalam industri aeroangkasa ketika ini," katanya kepada BH.

Penyelidikan produk pateri hijau itu dijalankan sejak 2013 dengan kerjasama syarikat Jepun, Nihon Superior (M) Sdn Bhd (Nihon Superior), membabitkan penajaan dana permulaan sebanyak RM218,000.


Dr Mohd Arif Anuar (tengah) menunjukkan produk pateri hijau yang dihasilkan dan pingat emas dimenangi pada pertandingan inovasi. - Foto Nik Hariff Hassan

Menerusi kerjasama itu, UniMAP turut membina modal insan dengan melatih mahasiswa membangunkan produk spesifik berkaitan bahan pateri hijau, terutama untuk kegunaan industri aeroangkasa.

Sehingga kini, Nihon Superior sudah memberi geran lebih RM700,000 bagi membantu UniMAP membangunkan produk timah tanpa plumbum itu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Arif Anuar, yang juga ketua penyelidik inovasi pateri hijau itu berkata, timah tanpa plumbum yang dihasil boleh mengurangkan masalah pembentukan 'misai timah' dalam litar peralatan aeroangkasa berikutan tekanan suhu ekstrem.

"Pateri hijau ini boleh menghalang pembentukan 'misai timah' itu kerana mampu mengurangkan tekanan dalaman (internal stress relaxation), sekali gus mengelakkan kejadian litar pintas.

"Kos menghasilkan pateri hijau ini juga lebih murah berbanding produk sedia ada dalam pasaran kini," katanya.

INFO
Pateri hijau

  • Penyelidikan dijalankan di bawah Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau UniMAP
  • Memenangi pingat emas Kategori Aeroangkasa dan Penerbangan, Pameran Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa (ITEX) 2017, serta Thailand Inventors' Day 2017
  • Memperoleh geran baharu RM290,000 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Berita Harian X