KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, muncul antara lima pemimpin awal melepasi garis kemenangan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan yang berlangsung semalam.
Setakat jam 1.30 pagi tadi, Zafrul memperoleh 106 undi daripada 189 bahagian yang bersidang semalam, untuk berada di tempat ketiga sekaligus menempah kedudukan dalam 25 jawatan sebagai Ahli MKT UMNO yang dipertandingkan kali ini.
Ia adalah penampilan pertama Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja menyertai saingan pemilihan UMNO, sejak mula aktif dalam politik pada 2020.
Turut mengesahkan kemenangan bagi jawatan MKT UMNO ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, yang memperoleh 109 undi dari bahagian, untuk berada pada kedudukan pertama.
Selain Zafrul dan Shamsul; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, juga menang dengan 107 undi, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (102 undi) serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, 101 bahagian.
Seramai 95 calon merebut jawatan itu dalam pemilihan UMNO kali ini.