Ahad, 19 March 2023 | 2:42am
Dr Muhamad Akmal Saleh dijulang penyokong selepas diumumkan menang Ketua UMNO Bahagian Jasin, malam tadi. NSTP/AMIR MAMAT
Dr Muhamad Akmal Saleh dijulang penyokong selepas diumumkan menang Ketua UMNO Bahagian Jasin, malam tadi. NSTP/AMIR MAMAT

Dr Akmal menang Ketua UMNO Bahagian Jasin

JASIN: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam saingan sengit empat penjuru, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menang dengan majoriti 146 undi apabila memperoleh 340 undi untuk menewaskan penyandang jawatan itu, Datuk Hasan Abd Rahman yang mendapat 194 undi.

Turut tewas, ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan, yang mendapat 151 undi dan bekas Bendahari bahagian, Datuk Mohd Yusof Osman yang memperoleh 21 undi.

Timbalan Ketua bahagian pula dimenangi Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian, Azman Abdullah, yang mendapat 289 undi manakala Naib Ketua dimenangi ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar (353 undi).

Keputusan diumumkan Penyelia Pemilihan UMNO Bahagian Jasin, Abu Bakar Md Sudi sebentar tengah malam tadi.

Seramai 711 perwakilan membuang undi pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, di sini pagi semalam.

Berita Harian X