Ahad, 19 March 2023 | 12:05am
Sebahagian wakil media hadir menunggu keputusan Pemilihan Jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO 2023-2026 di Auditorium UMNO WTC, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Sebahagian wakil media hadir menunggu keputusan Pemilihan Jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO 2023-2026 di Auditorium UMNO WTC, Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Keputusan rasmi Naib Presiden UMNO dijangka ambil masa hingga 72 jam

KUALA LUMPUR: Keputusan rasmi dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO tidak mungkin dapat dimuktamadkan malam ini.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, menjangkakan keputusan bagi pemilihan jawatan itu dijangka hanya akan diketahui dalam tempoh 48 hingga 72 jam lagi.

Perkembangan itu dikongsikan Isham yang turut bersaing bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada sesi temu bual bersama portal UMNO Online, malam ini.

"Jumlah undi bagi jawatan Naib Presiden UMNO mungkin berubah selepas mengambil kira proses pengiraan undian perwakilan kira-kira 80 bahagian belum selesai," katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mendahului saingan merebut jawatan Naib Presiden selepas meraih 82 undi, setakat jam 11.50 malam ini.

Ia disusuli pesaingnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang meraih 74 undi, diikuti Datuk Seri Johari Abdul Ghani (65 undi), Datuk Seri Azalina Othman Said (39 undi); Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (31 undi); Datuk Hasni Mohammad (28 undi); Datuk Seri Mahdzir Khalid (17 undi).

Sementara itu, calon kurang dikenali yang juga ahli UMNO Iskandar Puteri, Dr Mohd Yusof Musa gagal meraih sokongan sejak proses pengiraan undi dijalankan mulai jam 3 petang tadi.

Berita Harian X