SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya boleh digunakan secara percuma bermula hari ini sehingga 31 Mac ini.
Perdana Menteri berkata, perkhidmatan percuma itu dari stesen MRT Kwasa Damansara hingga Putrajaya Sentral ditawarkan sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya bermula jam 3 petang ini.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fookdan Menteri Kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.
Perkhidmatan MRT2 laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer (km) adalah projek kedua MRT Lembah Klang, yang menelan belanja RM30.53 bilion.
Laluan berkenaan mempunyai 36 stesen, meliputi kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya.
Sementara itu, di Putrajaya, Perdana Menteri yang turut merasai pengalaman menaiki MRT laluan Putrajaya, dari depot MRT Serdang ke Putrajaya Sentral, berpuas hati dengan perkhidmatan itu dan mengajak rakyat menikmati perkhidmatan berkenaan, termasuk secara percuma yang ditawarkan selama 16 hari itu.
"Daripada penyelenggaraan, pengawasan dan kebersihan, semua dikawal, dan saya minta pengguna memberikan kerjasama (untuk menjaga kemudahan MRT).
"Kerajaan merangka strategi bagi menjadikan pengangkutan awam sebagai mod utama yang memudahkan rakyat," katanya.