KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui kementeriannya berdepan cabaran dalam pengurusan penjagaan alam sekitar kerana perlu mendapat kerjasama kerajaan negeri.
Katanya, pelbagai perkara, khususnya membabitkan sumber air, hutan, tanah dan mineral banyak membabitkan bidang kuasa kerajaan negeri yang menyebabkan wujudnya konflik.
"Walaupun ia satu cabaran, kami dalam usaha untuk cuba harmonikan dengan kerajaan negeri. Tiada masalah untuk negeri membangunkan projek, tetapi perlu mengikut peraturan, jangan sentuh kawasan hutan simpan kekal. Itu isu yang kita titikberatkan," katanya dalam temu bual bersama BH.
Nik Nazmi menjelaskan, isu yang boleh mencetuskan konflik di antara kerajaan Persekutuan dan negeri boleh ditangani melalui pertemuan berkala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menteri besar serta ketua menteri di mana beliau juga antara anggota mesyuarat.
Katanya, sejak 2019, kerajaan Persekutuan memperkenalkan peruntukan 'Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation' (EFT) kepada kerajaan negeri bagi memelihara hutan dengan nilai dana ditingkatkan kepada RM150 juta setahun dalam Belanjawan 2023 berbanding RM70 juta tahun lalu.
Mengenai tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember lalu, beliau memaklumkan, laporan disediakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta Jabatan Mineral Sains Malaysia (JMG) sudah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Nik Nazmi berkata, JKR bertindak sebagai agensi Persekutuan yang menyelaras semua laporan berkaitan tragedi mengorbankan 31 nyawa berkenaan.
JAS buat siasatan
Di Cameron Hinglands pula, beliau berkata, siasatan JAS terhadap projek pembangunan di kawasan itu mendapati ada 16 projek yang tertakluk kepada perintah penilaian impak alam sekitar (EIA) 2015 dan sudah mendapat kelulusan.
Siasatan itu, katanya, dilancarkan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kajian semula dibuat ke atas semua projek pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi di sekitar kawasan peranginan berkenaan.
"Projek itu kini dalam pemantauan berkala JAS, iaitu 10 projek belum mula, satu sudah beroperasi dan masih ada kerja pembinaan, manakala lima lagi dalam pelaksanaan kerja tanah. JMG meneruskan pemantauan berkala untuk kemas kini maklumat cerun bahaya dan berisiko sekitar tanah tinggi itu," katanya.
Beliau berkata, maklumat pemetaan bahaya dan risiko cerun (PBRC) Cameron Highlands sudah dikongsikan dengan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), JKR, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands serta agensi dan jabatan berkepentingan lain.
"Maklumat berkenaan bagi tujuan perancangan guna tanah dan pengurusan cerun di Cameron Highlands," katanya sambil menambah, tiada keperluan bagi kelulusan laporan EIA yang diberikan ditarik balik atau dibatalkan kerana ia sudah dinilai mengikut kehendak prosedur yang ditetapkan.
Katanya, semua pihak perlu faham bahawa laporan EIA yang diluluskan merujuk kepada laporan penemuan dan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh jururunding EIA pada ketika ia dikemukakan.
"Jadi, laporan yang diluluskan itu sudah dinilai dan diteliti semua pihak berkepentingan membabitkan agensi teknikal di peringkat Persekutuan atau negeri, panel pakar penilai yang dilantik serta badan bukan kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Penilaian Laporan EIA (EIATRC).
"Laporan itu juga dinilai sewajarnya dengan mengikut garis panduan dan peruntukan undang-undang digariskan JAS dengan mengambil kira konsep reka bentuk, perancangan, impak dan langkah mitigasi yang dicadangkan," katanya.