Rabu, 8 Februari 2023 | 12:14am
Foto hiasan
Foto hiasan

Pemasangan mesin pembungkusan retort diperluas

latifah@bh.com my

BANGI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas pemasangan mesin pembungkusan secara retort, terutama dalam kalangan penggerak industri perhotelan dan katering di negara ini.

Langkah inovatif sejak 2021 itu bermatlamat menguruskan lebihan makanan secara lebih sistematik, mengelak pembaziran dan memanfaatkan golongan memerlukan melalui Program Food Bank Malaysia (PFBM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata setakat ini, mesin pembungkusan secara retort dipasang di 12 lokasi merangkumi hotel, badan bukan kerajaan (NGO), pengusaha katering dan di universiti awam terpilih.

"Program Food Bank bukan penyelesaian masalah, ia tak mampu pulihkan ekonomi tetapi ia usaha untuk menangani isu membabitkan rakyat yang hidup susah.

"Ia dapat mengurangkan pembuangan lebihan makanan, sasaran kita kalau boleh setiap hotel dan katering boleh pasang mesin retort untuk menyelamatkan lebihan makanan," katanya pada Majlis Apresiasi Penyumbang Program Food Bank Malaysia 2023 di sini, malam ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha KPDN (Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan), Datin Roszanina Wahab dan Pengasas Yayasan Al Manjie, Zuwairi Japri Al Manjie.

Fuziah berkata, antara lokasi dilengkapi mesin retort ialah Primula Beach Hotel, Terengganu; Hotel Le Meridien, Putrajaya; Food Aid Foundation, Kuala Lumpur; dan Politeknik Sultan Idris Shah, Selangor.

Menerusi penggunaan mesin retort, katanya, lebihan makanan boleh disumbang kepada golongan memerlukan termasuk kategori penerima dengan keperluan khas.

"Kita pernah agihkan Bakul Rahmah di Klang, penerimanya penghidap kencing manis dengan kakinya dipotong.

"Dia ucap terima kasih tapi beritahu tak boleh buat apa dengan sumbangan beras, minyak dan barang dapur.

"Rupanya bukan disebabkan tak berupaya memasak tetapi bilik yang disewa tidak ada dapur.

"Kalau boleh KPDN bantu dengan cara lain contohnya beri makanan siap untuk dimakan melalui teknologi retort," katanya.

Fuziah berkata, Akta Perlindungan Penderma Makanan 2020 diwartakan pada 13 Mac 2020 diharap mampu menarik minat penderma terutama pihak industri untuk tampil sebagai penyumbang.

Sebelum ini, katanya, banyak hotel membuang makanan kerana tidak diberi kepada orang lain untuk makan bagi mengelak perlu bertanggungjawab jika berlaku kejadian tidak diingini.

"Akta ini meredakan kebimbangan penderma terhadap risiko tindakan undang-undang sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan," katanya.

Teknologi pembungkusan secara retort menggunakan teknik aseptik bebas daripada mikrorganisme membiak.

Jangka hayat lebihan makanan yang melalui proses retort mampu ditingkatkan antara 12 bulan hingga 18 bulan.

Pada majlis sama, Fuziah turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada lapan rakan strategik utama Food Bank Malaysia, termasuk The Lost Food Project, Kechara Soup Kitchen, Yayasan Al Manjie dan Food Aid Foundation.

Berita Harian X