SEPANG: Kerajaan sedang berusaha membawa keluar 13 rakyat Malaysia yang terperangkap di beberapa wilayah terbabit dalam gempa bumi 7.4 magnitud yang melanda Kahramanmaras, Turkiye, semalam.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata pihaknya masih menunggu maklumat terkini daripada Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul berhubung mereka yang terkandas.
Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia yang terkandas bekerja dalam pelbagai bidang termasuk doktor di negara berkenaan.
Beliau berkata, mereka dilaporkan sihat dan selamat tetapi sukar dibawa keluar berikutan masalah perhubungan komunikasi yang terhad.
"Sesetengah laluan jalan raya di kawasan itu hanya dibenar untuk misi penting terutama menyelamat mangsa.
"Usaha membawa keluar rakyat Malaysia itu akan digerakkan Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan ahli keluarga di Malaysia tidak perlu bimbang.
"Kementerian Luar akan sentiasa menyalurkan maklumat perkembangan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelepasan Misi Bantuan Kecemasan Gempa Bumi Gaziantep Turkiye dan Syria oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby.
Misi bantuan bermula hari ini sehingga 28 Februari itu disertai 11 peserta dan empat wakil media.
MAPIM adalah badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia pertama berlepas ke Turkiye bagi misi bantuan kemanusiaan.
Sementara itu, Ahmad Sani berkata, MAPIM memperuntukkan dana RM1juta bagi misi itu dan akan memberi bantuan asas seperti khemah, selimut dan keperluan lain.